Dengan berbangganya saya ingin mengumumkan (walaupun saya tahu sememangnya ramai yang telah tahu berita ini)
GENG:PENGEMBARAAN BERMULA sedang ditayangkan di pawagam tanahair! Ya, animasi 3d pertama Malaysia yang telah ditunggu-tunggu kini keluar menemui peminat animasi tempatan dan semalam,
12.02.2009, kami telah mengadakan satu sesi tayangan istimewa untuk peminat-peminat Upin & Ipin yang dinamakan
Tayangan Fanatik Geng. Alhamdulillah,
Hall 1 yang telah kami sewa di Cathay Cineplex, Damansara, yang menampung seramai 204 orang telah penuh ditempah oleh peminat.


Acara bermula pada jam 8:30 malam dimana semua peminat telah beratur untuk mendapatkan tiket yang telah mereka tempah. Kelihatan kegembiraan terpancar di wajah mereka, mungkin kerana terlalu seronok kerana pada jam 9:45 malam, mereka akan menjadi salah seorang yang pertama menonton filem 3d sulung dari Les' Copaque Production. Lebih kurang jam 9 malam, peminat dihiburkan dengan kehadiran maskot Upin & Ipin serta pelakon-pelakon suara yang telah meminjamkan suara mereka untuk filem tersebut. Antaranya ialah Nur Fathiah yang terkenal sebagai suara Upin & Ipin, Kee Yong Pin (Lim) dan Amir Izwan (Badrol). Sebaik sahaja maskot Upin & Ipin melangkah masuk, semua peminat teruja dan terus mengambil gambar mereka. Peminat juga tidak ketinggalan bergambar dengan pelakon-pelakon suara dan mengambil tandatangan mereka sebagai kenangan hari yang bermakna ini.





Setelah menyalanya lampu menandakan
Hall 1 telah bersedia, satu persatu peminat masuk dengan harapan melihat hero kecil Upin & Ipin beraksi di layar perak. Tepat detik 9:45, Geng bermula dan peminat dengan terujanya masuk ke alam 3D Upin & Ipin. Seluruh 90 minit telah digamatkan dengan gelak ketawa dan jeritan penonton yang begitu menumpukan perhatian kepada layar di hadapan mereka.

Tepukan gemuruh telah diberikan sejurus selepas tayangan habis. Terima kasih diucapkan kepada peminat yang telah sudi meluangkan masa.

Mereka telah menonton filem 3d animasi pertama Malaysia. Anda bila lagi?