Pada 27 Februari 2010 yang lalu bertempat di Carlton Hotel, Shah Alam telah berlangsungnya Malam Sahabat Niaga Upin & Ipin yang dianjurkan oleh Les' Copaque Production bersama anak syarikatnya, LC Merchandising Sdn Bhd. Majlis yang pertama kali ini diadakan bertujuan untuk meraikan semua sahabat niaga barangan tulen Upin & Ipin yang menjual produk ini sejak penubuhan LC Merchandising Sdn Bhd, 2 tahun yang lalu. Selain bersuai kenal dengan kesemua sahabat niaga, majlis ini juga bertujuan untuk memberikan pendedahan dan membincangkan perancangan serta hala tuju syarikat pada masa akan datang. Turut diadakan adalah seminar pada sebelah pagi yang dihadiri oleh wakil sahabat niaga dari seluruh Malaysia.
Malam Sahabat Niaga Upin & Ipin telah dirasmikan oleh Cik Noraini Hashim, Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU), wakil rasmi Y.B Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Turut dilancarkan pada malam tersebut adalah DVD Upin & Ipin Edisi Khas bagi kanak-kanak cacat pendengaran yang turut disampaikan kepada para pelajar cacat pendengaran dari Sekolah Menengah Dato' Ibrahim Yaacob sebagai tanda prihatin.
Tuan Haji Burhanuddin Md Radzi, Pengarah Urusan Les' Copaque Production pula memberitahu penerimaan Upin & Ipin sekarang ini sangat memberansangkan sehingga ke Republik Indonesia, India dan Russia. Pelbagai rancangan terbaru untuk mempromosikan Upin & Ipin secara global termasuklah menganjurkan Upin & Ipin On Ice dan Taman Tema Upin & Ipin sebagai projek jangka panjang. Selain itu, pada tahun ini Les' Copaque telah merangka untuk menerbitkan permainan komputer Upin & Ipin, hasil kerjasama pihak syarikat dengan Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU). Beliau juga turut mengumumkan mengenai penerbitan filem biografi pertama mengenai primadona Zaiton Sameon oleh syarikat penerbitan filem terbaru beliau, Bruang Filem Sdn Bhd. Filem ini akan diarahkan oleh Fauziah Nawi dan dijangka akan memulakan penggambaran pada tahun ini.
Antara krew Les' Copaque yang turut hadir
Selain itu, kemuncak malam tersebut diserikan dengan majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang Pertandingan Mengira Oopet yang telah dianjurkan serentak dengan penjualan DVD filem GENG : Pengembaraan Bermula tahun lalu. Pertandingan yang menawarkan hadiah utama berupa percutian ke Disneyland Hong Kong serta hadiah-hadiah lain termasuk televisyen LCD dan Sony Playstation 3 telah menerima lebih 5 ribu penyertaan dari seluruh negara. Pemenang utama yang bertuah adalah Cik Nur Saidah Bt Aziz yang berasal dari Rawang dan Cik Siti Nur Zakirah yang berasal dari Bukit Sentosa.

Krew yang telah bersungguh-sungguh menjayakan majlis ini
Anugerah juga turut disampaikan kepada beberapa sahabat niaga yang mencatatkan penjualan barangan tulen Upin & Ipin yang amat memberangsangkan. LC Merchandising juga turut mengorak langkah dengan melancarkan Kad Kelab Peminat Upin & Ipin yang akan digunakan oleh semua ahli kelab peminat Upin & Ipin. Ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan semua ahli kelab peminat Upin & Ipin dari seluruh tanah air selaras dengan permintaan yang sangat tinggi terhadap kelab peminat. LC Merchandising merancang akan membuat Malam Sahabat Niaga ini sebagai acara tahunan untuk mengembangkan aktiviti pemasaran barangan tulen Upin & Ipin.













































