Tuesday, July 13, 2010

Malam Bersama Upin & Ipin Meriah!

Wah! Sungguh meriah dan terpesona dengan sambutan Malam Upin & Ipin yang telah dilangsungkan di Geng's Corner Putra Heights baru-baru ini. Suasana makan malam di Geng's Corner terus berubah dan menjadi riuh rendah dengan kemunculan ramai pelakon suara dari siri Upin & Ipin. Sebaik sahaja matahari mula terbenam, Geng's Corner telah mula dikerumuni dengan pengunjung yang rata-rata terdiri dari pelbagai lapisan umur dan masyarakat. Memang beruntung pengunjung pada malam itu kerana dapat berjumpa dengan kembar comel ini.

Geng's Corner di Putra Heights
Tayangan siri Upin & Ipin


Dalam percaya atau tidak, rupanya kelibat kembar comel yang menyerupai Upin & Ipin juga turut kelihatan semasa majlis ini. Kembar yang mengelarkan namanya Upin & Ipin ini merupakan peminat setia Upin & Ipin dan sanggup berpakaian lengkap seperti mereka. Danial dan Danish bukan kali pertama memeriahkan majlis Upin & Ipin dan kali ini mereka nampaknya begitu terhibur dengan persembahan yang disediakan pada malam tersebut. Memang sungguh comel dan telatah mereka berdua ini sedikit sebanyak mencuri tumpuan pengunjung.

Kembar Danial & Danish
seperti Upin & Ipin

Yuki (Mei Mei) bersama Asyiela (Upin/Ipin)

Danial & Danish turut diberi hadiah

Memang tak lengkap kalau Upin & Ipin kalau tanpa pelakon suaranya. Adik Asyiela Putri pelakon suara Upin & Ipin juga rupanya amat gemar makan di Geng's Corner dan turut dijemput ke majlis ini. Sambil menjamu makan malam, Syiela pun juga sempat memperdengarkan suara comelnya itu. Selain Syiela, Mail 2 Singgi pun turut memeriahkan malam tersebut sambil ditemani oleh pelakon suara yang lain seperti Kak Ros, Mei Mei, Fizi dan juga Tok Dalang. Ha? Tok Dalang? Wah, Memang jarang kita dapat berjumpa dengan Tok Dalang sebelum ni, kiranya kami semua beruntung dapat bertentang mata dengan pelakon suara Tok Dalang. Dengar kata Tok Dalang ni ramai betul peminatnya dek kerana keunikkan suara dan lakonannya yang bersahaja. Memang sempoi betul Tok Dalang mendemokan suaranya pada malam tersebut dan mendapat tepukan ramai peminat.

Kak Ros ketika menerumah Mail

En Abu Shafian yang memegang
watak Tok Dalang turut hadir

Semua pelakon suara yang
memeriahkan malam tersebut



Ha! semua orang jangan tak tahu bukan saja pelakon suara yang membuat penampilan tetapi Pengarah Kreatif Les' Copaque Production sendiri iaitu Usamah Zaid pun turun padang. Kalau takde orang-orang kreatif ni maka tak jadilah Upin & Ipin betul tak? Pada malam tersebut, Zaid sempat menyampaikan beberapa hadiah kepada pemenang cabutan bertuah. Sebenarnya selain Zaid, ramai juga warga-warga kerja kreatif yang lain turut memberi sokongan. Barulah ada teamwork orang kata.

Selain itu, kemuncak pada malam tersebut sudah tentulah penampilan maskot Upin & Ipin yang pertama kali muncul di Putra Heights ini. Kali ini mereka berdua ditemani oleh maskot Mei Mei yang mempunyai ramai peminat di sini. Meriah betul suasana ketika kemunculan maskot-maskot semua ni. Dah macam taman permainan pula dibuatnya.

Usamah Zaid bersama peminat ketika
cabutan bertuah

Maskot Upin & Ipin bersama Mei Mei
memeriahkan suasana

Begitulah nampaknya kemeriahan yang dapat digambarkan disepanjang majlis ini berlangsung. Kepada sesiapa yang tak berkesempatan untuk menyertai majlis ini jangan risau kerana kami masih akan menganjurkan Malam Bersama Upin & Ipin pada masa-masa akan datang. Kepada yang hadir tempoh hari, kami ucapkan ribuan terima kasih dan mohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan.