Sempena ulang tahun yang 3, TV9 telah menganjurkan konsert Di Hatiku yang telah berlangsung di Lumut, Perak pada 25 April 2009. Tapak acara iaitu di Pangkalan TLDM ini juga pada masa yang sama sedang diadakan Jom Heboh iaitu acara besar-besaran bagi TV3. Upin & Ipin telah dijemput untuk memeriahkan lagi acara ini yang julung-julung kalinya diadakan. Kebetulan pada hari yang sama juga Upin & Ipin ditayangkan selama 90 minit di TV9 sebagai salah satu cara untuk memeriahkan konsert Di Hatiku pada malam harinya.

Pengunjung pada hari tersebut memanglah terlalu ramai. Walau bagaimanapun, di atas sebab-sebab tertentu Upin & Ipin tidak dapat membuat penampilan jauh dari kawasan pentas konsert. Kebanyakkan pengunjung kecil yang beramai-ramai datang ini merupakan peminat setia Upin & Ipin. Dari jauh lagi sudah terdengar jeritan mereka memanggil Upin & Ipin. Upin & Ipin hanya berdiri di sudut pentas di mana pada awalnya tiada orang langsung, tetapi 2 minit selepas itu sudut itu telah menjadi penuh dengan peminat-peminat yang berlari dari jauh ntuk bergambar.

Pada malam hari, Konsert Di Hatiku dimeriahkan oleh artis-artis tempatan dan Upin & Ipin menjadi penyeri pembukaan dan penutup pada malam itu. Kami memohon maaf kerana terdapat ramai peminat-peminat yang tidak dapat bergambar dengan Upin & Ipin kerana difahamkan ramai peminat datang dari jauh semata-mata untuk Upin & Ipin. Walau bagaimanapun Upin & Ipin akan muncul sekali di acara Suarasa Kelantan pada minggu hadapan.
