Monday, April 06, 2009

GENG: JELAJAH MALAYSIA ....HABIS





Assalamualikum!! ...apa khabar semua Cucu-cucu Ayok?



Akhirnya jelajah Malaysia oleh Filem "Geng" yang bermula dari 12hb Feb 2009 akan berakhir hari Rabu ini. Sehingga hari Ahad yang lalu, jumlah kutipan filem Geng ialah RM 6,314,526 dan jumlah penonton ialah 813,604 orang. Satu pencapaian yang amat membanggakan kerana ia merupakan jumlah kutipan yang tertinggi untuk filem tempatan selepas filem "Lagi Lagi Senario" yang mencecah RM 6.33 juta dalam tahun 2001. Atok rasa setakat ini sahajalah yang kita boleh capai buat kali ini. Walaubagaimanapun, filem ini merupakan antara salah satu filem tempatan yang lama ditayangkan, selama 8 minggu, dan yang paling tinggi jumlah penontonnya.
Kepada semua peminat, Atok ucapkan ribuan terima kasih, dan Atok dengan cucu-cucu Atok berjanji akan mengeluarkan filem yang lebih bagus lagi.

Setelah habis tayangan, Atok dan cucu-cucu semua sedang mengatur rancangan untuk melancarkan tayangan filem ini di Brunai dan Indonesia. Insyaallah, filem ini akan ditayangkan di Brunai bulan Jun ini. Untuk Indonesia, tarikh tayangannya di jadualkan 2 minggu sebelum hari raya dan setakat ini, kami hanya telah mendapat persetujuan dengan pihak Megablitz yang mempunyai panggung mewah di Jakarta dan Bandung sahaja. Kami sedang berusaha berunding dengan Network 21, yang mempunyai rantaian panggung diseluruh Indonesia. Walaubagaimanapun, kami telah dipelawa untuk mengambil bahagian di Indonesian Kid Film Festival yang akan diadakan pada bulan Julai ini. Khabarnya, filem Geng mungkin menjadi pembuka tirai tayangan festival tersebut, dan sekiranya ia terjadi, cerah untuk filem Geng memasuki panggung Network 21 kerana ia merupakan sponsor utama festival ini. Atok sedang menunggu keputusan dari pihak penganjur yang mungkin kami akan terima selewat-lewatnya minggu depan.

Malam tadi juga, kami menerima keputusan dari penganjur Annecy Film Festival yang mengatakan filem Geng gagal untuk memasuki pemilihan diperingkat seterusnya. Sebanyak 1855 penyertaan dari seluruh dunia dan hanya 241 yang terpilih untuk peringkat seterusnya. Untuk Nizam, jangan kecewa, tingkatkan usaha kita dan ini merupakan kayu pengukur yang kita belum world class lagi. Cuba dan cuba lagi.....

Kepada peminat yang menunggu DVD atau VCD filem Geng, harap bersabar, ia hanya akan dikeluarkan selepas tayangan di Indonesia, ia itu sekitar bulan Oktober. Adalah tidak adil kepada pengusaha panggung di Indonesia sekiranya kami keluarkan sekarang kerana Raja Lanun masih bermaharajalela.

Kepada semua Lanun-lanun yang diluar sana, tolong ambil perhatian. Kami akan mengambil tindakan secara besar-besaran tidak lama lagi dan diharapkan mereka dapat memberhentikan aktiviti cetak rompak dengan segera. Ini termasuk DVD dan barangan seperti t-shirt dan lain-lain lagi. Jangan nanti kami dipersalahkan sekiranya ada yang kena denda RM 1 juta atau masuk jel seperti yang berlaku di Rawang baru-baru ini. Hentikan cetak rompak dan sokonglah industri tempatan.

Wassallam