Monday, November 02, 2009

Upin & Ipin bercuti di Cherating

Assalamualaikum kepada semua pembaca blog ini. Alhamduillah sejak kebelakangan ini kami menerima respon yang baik terhadap penerimaan animasi Upin & Ipin lebih-lebih lagi dari negara jiran kita iaitu Indonesia. Setelah penat dengan tugas dan tanggungjawab di studio, kesemua staff Les' Copaque telah merancang untuk bercuti-cuti di Cherating. Satu percutian yang dinanti-nantikan oleh semua staff kerana akhirnya masa untuk bercuti dan bergembira bersama-sama pun tiba. Dengan bantuan perkhidmat 2 bas persiaran, perjalanan dimulakan seawal 8 pagi. Lebih 70 kakitangan termasuk baru dan lama bersama-sama memeriahkan Family Trip ke Cherating ini.

Beberapa orang staff LCP bergambar sebelum bertolak

Melakukan aktiviti bersama gajah

Aktiviti menunggang gajah

Sebelum sampai ke Cherating, destinasi pertama merupakan Kuala Gandah yang menempatkan sebilangan gajah-gajah. Gajah ini semua bersedia diberi makanan seperti tebu dan bergambar. Aktiviti selain melihat dari jarak dekat dan bergambar, gajah-gajah ini semuanya bersedia untuk ditunggang. Peluang untuk menunggang gajah yang jarang-jarang diperolehi ini diambil oleh beberapa orang staff LCP yang berkesempatan. Selain dari Kuala Gandah, percutian kali ini juga membawa kami ke perkampungan Cherating yang menawarkan pelbagai aktiviti kampung yang menarik. Antaranya ialah menyaksikan demostransi monyet memetik kelapa, gasing tradisional, mencanting batik dan banyak lagi. Sekurang-kurangnya di dalam percutian kali ini dapatlah juga membuka pemandangan dan memberi manfaat kepada kami dengan aktiviti kampung yang jarang dilihat di bandar.

Gasing Tradisional

Upin & Ipin cuba menyangam tikar

Kevin selesai mencanting batik

Beberapa orang staff sedang mencantik batik

Aktiviti kebudayaan diteruskan juga pada waktu malam dengan persembahan dari persatuan kebudayaan tempatan dengan persembahan seperti wayang kulit dan dikir barat. Terpegun dengan aksi menarik dan bersemangat oleh ahli-ahli dikir barat, kesemua staff LCP gembira menyaksikan persembahan dikir barat yang jarang dapat dilihat dari dekat. Ada juga beberapa orang staff LCP yang bersama-sama menyertai dikir barat tersebut tanda sokongan. Aktiviti malam hari disambung pula dengan segment motivasi yang dikelolakan sendiri oleh Tn Hj Burhanuddin. Malam yang lebih besarnya skop dari sekadar motivasi biasanya memperlihatkan beberapa orang seniors turut berkongsi pengalaman masing-masing sejak dari awal penubuhan syarikat. Malam tersebut juga diambil peluang oleh Les Copaque Merchandising (LCM) untuk membuat persembahan tergempar yang dianggotai oleh semua kakitangan LCM. Persembahan berbentuk nyanyian ini kemudiannya menjadi acara penutup pada malam tersebut.

Tok Dalang sedang beraksi dengan wayang kulitnya

Staff LCP terhibur dengan persembahan kebudayaan

Seminar yang dikelolakan oleh Atuk sendiri

Usamah Zaid ketika memberi sepatah kata dua

Fuad Md Din ketika berkongsi pengalamannya

LCM bersemangat membuat persembahan

Pada siangnya pula, selain menikmati keindahan pantai Cherating di Swiss Garden aktiviti seperti sukan pantai dan team building dianjurkan bersama-sama. Bola sepak pantai dan bola tampar antara aktiviti sampingan yang sangat menyeronokkan sambil bersantai di tepi pantai. Aktiviti team building yang sangat dinanti-nantikan pula dianjurkan dalam kumpulan yang telah dibahagikan pada awal-awal lagi. Setiap kumpulan yang tampil dengan warna masing-masing turut menamakan nama kumpulan mengikut nama watak di dalam Upin & Ipin. Dengan semangat dan kecekalan masing-masing setiap kumpulan beradu di dalam beberapa permainan yang telah disediakan. Walaupun beraksi di dalam panas terik matahari, namun kumpulan masing-masing tidak mahu mengalah dan berputus asa. Aktiviti yang dimulakan seawal pukul 7 pagi ini tamat sekitar pukul 1 tengahari.

Ketika bola sepak pantai

Suasana ketika bola tampar pantai

Team Ijat yang memilih warna biru
semangat penyuntik semangat

Pasukan Dr Ravi yang memilih warna kuning

Afiq bersedia ditutup mata untuk aktiviti Guide The Boss

Aktiviti Guide The Boss yang mendapat sorakan hebat

Team Sapy dengan baju berwarna merahnya

Team Mei Mei yang menjuarai keseluruhan aktiviti

Walaupun lebih kurang 3 hari menetap di Cherating tapi bagaikan tidak mencukupi. Bermain di tepi pantai, menikmati kesedapan sata dan menyanyi di dalam bas adalah diantara memori yang tersimpan di dalam minda setiap staff LCP. Namun begitu, masing-masing turut bersyukur dengan peluang yang telah diberikan dan insyaAllah akan lebih bersemangat lagi selepas ini. Terima kasih kepada agensi pelancongan yang telah membantu dan melayan kerenah kami di sepanjang percutian ini iaitu RedLand. Terima kasih juga tentulah kepada Atok dan Opah yang telah banyak memberi sokongan dan galakan.

Bergambar di perkampungan Cherating

Bergambar di tepi kolam renang

Semua staff LCP bergambar pada malam penyampaian hadiah