Pada musim cuti sekolah ini, Les' Copaque telah menerima kunjungan dari SK Sanglang, Perlis. Pada 18 November, seramai 70 orang pelajar sekolah rendah termasuk guru-guru mereka tiba di pejabat kami sekitar 11 pagi. Mereka telah memulakan perjalanan sejak malam sebelumnya. Walaupun datang dari jauh, wajah-wajah mereka tetap bersemangat dan ceria untuk mengetahui cara-cara pembikinan animasi di Les' Copaque.
Lawatan pada kali ini telah dikendalikan oleh En. Asyraf, En. Faizu dan En. Faren. Mereka menerangkan tentang sejarah permulaan syarikat, tatakerja produksi dan menayangkan video-video seperti trailer Geng dan Upin & Ipin, dan proses pembuatan animasi.

Seterusnya, mereka di bawa untuk melawati jabatan-jabatan yang terlibat dalam pembikinan animasi.
Cik Ida Shaheera a.k.a. Kak Ros menerangkan tentang penulisan skrip.
En. Safrizan dan En. Fadhli bersama "bintang" Les' Copaque, Fathiah memberi demonstrasi proses rakaman suara di bilik audio.
En. Ahmad Razuri bersua tentang proses rendering.
En. Haris mempamerkan "skill"nya dalam bidang kompositing.
Setelah selesai menziarahi kawasan studio, rombongan telah dibawa ke kedai cenderahati Les' Copaque, World of Geng.

Lawatan SK Sanglang ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama pelakon-pelakon suara Upin & Ipin termasuk Cik Fathiah, Cik Ida Shaheera, Cik Ida Rahayu dan Cik Ejean.
Sebagai penutup, saya sajikan sekerat pantun dari Jarjit -
Terima kasih daun keladi,Ada peluang jumpa lagi.

