Saturday, November 08, 2008

BILA "GENG" NAK KELUAR?

Atok ingat inilah soalan yang paling banyak diajukan oleh semua peminat dihalaman web kami. Sebenarnya pembuatan filem itu distudio kami telah selesai kira-kira dua minggu yang lalu. Kerja-kerja memindahkan fail digital kedalam bentuk reel bagi ditayangkan di pawagam sedang giat dijalankan di Lab Oriental Post dan Kantana di Bangkok. Oriental Post membuat kerja-kerja pemindahan gambar sedangkan Kantana menjalankan kerja mengadun bunyi untuk mendapatkan kesan dolbi dan sense around. Kerja-kerja ini kemungkinan dapat disudahkan pada akhir bulan November ini

Hari Rabu yang lalu, Atok, Anas dan Ehsan telah pergi ke Bangkok untuk mengintai kerja-kerja yang di jalankan. Ujian gambar selama 2 minit telah ditontonkan kepada Atok didalam panggung mereka dengan hasil yang amat memuaskan. Mereka memuji ketajaman gambar dan pemilihan warna yang cantik. Kami juga berpeluang mendengar kerja adunan bunyi selama 20 minit yang sangat memuaskan. Oleh itu, kita telah memberi kebenaran untuk semua kerja diteruskan tanpa sebarang masaalah.

Minggu depan, kita akan membawa pulang satu salinan reel yang suaranya hanya dalam bentuk stereo untuk diajukan kepada Lembaga Penapisan filem bagi mendapatkan no kelulusan. Proses ini dijangkakan mengambil masa selama lebihkurang seminggu ke dua minggu. Setelah mendapat kelulusan, barulah kita dapat menempah tarikh wajib tayang. Setakat ini hanya terdapat satu tarikh dibulan Januari dan lagi satu dibulan Februari. Sekiranya kita tidak dapat menempah tarikh tersebut, kemungkinan filem ini hanya boleh ditayangkan pada bulan April 2009. Tempahan tersebut tertakluk kepada siapa yang menempah terlebih dahulu dan mendapatkan kelulusan dari pihak penapisan.

Sebenarnya terdapat banyak proses untuk kita menayangkan filem tersebut dan banyak perkara adalah diluar kawalan pihak kami. Kami sedang berusaha untuk menayangkannya dibulan Januari 2009. Oleh itu diminta semua peminat bersabar dan mengikuti blog kami untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Atuk dah tengok banyak kali...