Pada sabtu, 11 Oktober yang lalu, UITM Segamat mengadakan hari MultiWebBase untuk memberi pendedahan didalam bidang teknologi dan it. Pihak Les' Copaque dijemput untuk memberikan taklimat sedikit sebanyak dalam bidang animasi. En. Mohd Zarin Abd Karim, telah pergi selaku wakil dari Les' Copaque untuk memberikan taklimat berkenaan, diiringi oleh Mohd Faliq Mohd Isa dan Hasan AlBasri Mohd Kamil.

Kami bertolak sehari lebih awal dan menginap di hotel yang disediakan oleh pihak penganjur. Layanan yang diberikan amat mesra dan memuaskan. Begitu juga dari ahli komuniti yang bertugas pada keesokan harinya, mereka amat ringan tulang untuk menolong apa-apa sahaja yang tidak mencukupi.

Seramai kira-kira 120 orang telah menghadiri taklimat tersebut. Mereka semua memang mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang animasi kerana memberikan perhatian yang penuh. Taklimat tersebut diselang-selikan dengan tayangan beberapa episod Upin dan Ipin beserta trailer filem Geng: Pengembaraan Bermula.


Dalam masa yang sama, sementara En. Zarin memberi taklimat di dalam, booth jualan barangan Upin Ipin dijalankan diluar. Kami membawa bersama produk-produk terbaru untuk dijualkan kepada peminat.

Sambutan barang-barang Upin dan Ipin amatlah memberangsangkan. Booth tersebut bagaikan dikepung oleh peminat dari semua arah. Kami tidak menang tangan untuk melayan semua pelanggan. Ada yang terpaksa menunggu lama sebelum dilayan. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pengunjung yang sabar menunggu. Tidak dilupakan penghargaan kepada pihak UITM yang sudi menjemput kami.