Thursday, July 09, 2009

Upin & Ipin di Hari Keluarga Petronas

Bertempat di PERMATA Bangi, Hari Keluarga Petronas telah berlangsung dengan jayanya pada 27 Jun yang lalu. Les' Copaque Production bersama Upin & Ipin dijemput untuk bersama-sama menjayakan acara yang gemilang ini. Pelbagai aktiviti menarik yang telah dianjurkan seperti permainan gokart, futsal, permainan sains, konsert, tayangan dan macam-macam lagi. Maskot Upin & Ipin juga telah turun pada hari tersebut untuk memeriahkan lagi acara ini.

Ketika sesi bergambar bersama peminat

Walaupun maskot Upin & Ipin hanya sempat membuat penampilan dalam masa yang singkat, namun ramai peminat setia Upin & Ipin yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama-sama. Cuaca yang panas menyebabkan Upin & Ipin terpaksa direhatkan lebih awal untuk persembahan pentas pada sebelah tengaharinya nanti. Serentak dengan penampilan maskot ialah penjualan barangan Upin & Ipin. Berkonsepkan gerai, penjualan barangan original Upin & Ipin turut mendapat perhatian lebih-lebih lagi setiap kali tamat penampilan maskot Upin & Ipin.

Salah satu permainan yang disediakan

Sesi jualan barangan Upin & Ipin

Pada sebelah tengaharinya pula, seperti yang telah dirancang maskot Upin & Ipin membuat persembahan di pentas utama. Persembahan kali ini akan diadakan bersama-sama dengan maskot Petrosains yang di bawa khas dari KLCC. Persembahan yang amat ditunggu-tunggu oleh peminat terutamanya kanak-kanak ini, diacarakan oleh Zizan dan Johan. Walaupun pertama digandingkan, namun semua maskot yang berada di atas pentas berjaya memukau penonton dengan tarian comel mereka. Bagaikan artis, nama Upin & Ipin sering kedengaran dipanggil sepanjang persembahan diadakan.

Ketika persembahan Upin & Ipin bersama maskot Petrosains di pentas utama

Upin & Ipin sedang menari

Bergambar bersama-sama sebelum menamatkan persembahan

Persembahan yang tamat sekitar 30 minit ini sedikit sebanyak berjaya memeriahkan acara pada hari tersebut. Pada malamnya pula, Hari Keluarga Petronas ini disambung dengan konsert oleh artis tempatan. Terima kasih kepada semua kakitangan Petronas yang banyak membantu pada hari acara berlangsung.