Berita baik kepada semua peminat setia Upin & Ipin. Pada 17 - 19 pelakon-pelakon suara utama bagi siri Upin & Ipin akan membuat penampilan dibeberapa acara berasingan. Pada 17 Julai, Kak Ros ( Ida Shaheera) akan berada di PWTC untuk acara National Bumiputra Entrepreneur Conference & Exhibition 2009. Manakala pada 19 Julai pula dilokasi yang sama Kak Ros akan ditemani Upin/Ipin (Nur Fathiah) untuk membuat penampilan istimewa bersama-sama pengunjung. Pada hari ini juga Kak Ros akan menganjurkan pertandingan mewarna terbuka bagi kanak-kanak. National Bumiputra Entrepreneur Conference & Exhibition 2009 atau NBECE 09 ini diadakan selama 3 hari bermula dari 17 sehingga 19 Julai dan menyaksikan Tuan Haji Burhanuddin iaitu Pengarah Urusan Les' Copaque Production akan memberi ceramah pada hari pertama acara ini iaitu hari Jumaat pada pukul 10 pagi.Pada hari Sabtu 18 Julai ini pula, Kak Ros bersama Upin/Ipin akan berada di Karnival Ampang Jaya 2009 yang akan dilangsungkan di Padang Perbandaran Ampang Jaya, Pandah Indah. Karnival Ampang Jaya ini juga berlangsung selama 3 hari bermula dari 17 Julai. Pelbagai aktiviti yang menarik diadakan selain jualan barangan Upin & Ipin serta kemunculan maskot Upin & Ipin. Karnival ini mula dibuka seawal 9 pagi dan ditutup sekitar 10malam. Kepada semua peminat yang duduk dikawasan yang berhampiran jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan acara ini dan berjumpa dengan pelakon-pelakon suara Upin & Ipin.