Tuesday, July 28, 2009

Keren banget!

Hari Jumaat lepas saya, Yuki, Ah Wei, Tiah (pelakon suara Upin & Ipin) dan ibu bapanya berlepas ke Jakarta bagi menghadiri Kids Film Festival yang buat julung kalinya diadakan di Indonesia. Acara ini dilangsungkan bersempena Hari Kanak-Kanak di Indonesia dan berlangsung dari 17 sehingga 26 Julai. Di festival filem ini, Geng: Pengembaraan Bermula adalah antara filem-filem yang bertanding. Acara ini diadakan khusus oleh kanak-kanak dan untuk kanak-kanak. Antara filem-filem yang berentap bersama Geng:Pengembaraan Bermula adalah The Happiness of Kati (Thailand), The Letter for the King (Holland), Mia & The Migoo (France), Niko & The Way to the Stars (Finland) dan Teo’s Voyage (Mexico). Disamping itu, ada juga kategori di mana, pengarah-pengarah kecil mempertaruhkan filem pendek buatan mereka sendiri dimana pemenangnya memenangi sebuah Macbook Pro.Kesemua filem-filem yang bertanding, dinilai oleh juri kanak-kanak yang telah dipilih dari serata pelusuk Indonesia.

Pada hari pertama kami di sana, kami telah dijemput hadir ke tayangan filem Geng: Pengembaraan Bermula di Cinema 21, Jakarta. Ramai yang hadir di tayangan tersebut dan majoritinya tergolong dalam lingkungan 15 tahun ke bawah. Ternyata berbezaan bahasa tidak menghalang mereka daripada terhibur dengan gelagat Upin & Ipin yang beraksi dalam Geng.

Pada malamnya, kami bersama-sama Tiah sekeluarga telah dijemput hadir ke Kontes Dangdut TPI atau singkatannya KDI. KDI adalah sebuah rancangan seperti Akademi Fantasia di Malaysia tetapi khusus untuk genre dangdut. Di sana, Tiah dengan diiringi maskot Upin & Ipin dijemput untuk mempromosikan tayangan siri Upin & Ipin yang akan ditayangkan di stesyen televisyen TPI pada Ramadhan kelak.


Pada keesokkan harinya, kami dijemput ke Blitz Megaplex bagi menghadiri majlis penutup untuk Kids Film Fest 2009. Majlis ini dimulakan dengan persembahan live oleh sebuah band yang terdiri dari kanak-kanak. Telah diumumkan separuh dari hasil jualan tiket tayangan filem-filem yang ditandingkan akan didermakan ke tabung Unicef.

Dalam majlis ini, Geng: Pengembaraan Bermula telah diumumkan sebagai pemenang kategori "Viewers Choice Award". Ini satu penghormatan besar buat kami dan untuk kesempatan ini kami mengucapkan terima kasih. Majlis ini diakhiri dengan tayangan filem 3d animasi muzikal sulung Indonesia bertajuk Meraih Mimpi.

Terima kasih diucapkan kepada Ibu Rina Novita, TPI, Cinema 21 dan Blitz Megaplex yang telah sudi menjemput kami ke sana.