Pada 27 dan 28 Jun lepas Les' Copaque Production telah menyertai Karnival Bank Rakyat yang diadakan di Tanjung Karang. Karnival yang pertama kali disertai oleh Les' Copaque ini merupakan karnival yang sering kali dianjurkan oleh Bank Rakyat untuk mendekatkan dengan rakyat. Kami bermula dengan jualan barangan Upin & Ipin yang mendapat sambutan yang amat baik dari penduduk di Tanjung Karang.
Sambutan bertambah hangat apabila kami menurunkan maskot Upin & Ipin pada hari Ahad untuk memeriahkan lagi acara. Maskot Upin & Ipin yang juga pertama menjejakkan kaki di sini diserbu peminat sebaik sahaja kelibat mereka kelihatan. Kebanyakkan peminat mengambil kesempatan untuk bergambar serta bersalaman dengan maskot kembar ini. Pada hari tersebut juga secara kebetulan maskot Upin & Ipin sempat bergambar bersama dengan wakil VIP dari Bank Rakyat. Selain itu juga, pada hari Sabtu, telah berlaku majlis penyampaian sijil tanda Upin & Ipin telah menjadi rakan Kelab Nuri.
Maskot Upin & Ipin juga kemudiannya digabungkan dengan maskot Bank Rakyat iaitu Nuri bersama-sama ahli kelab Nuri yang lain. Walaupun berada di dalam acara Bank Rakyat namun populariti Upin & Ipin amat ketara dan nama Upin & Ipin sering disebut dikalangan peminat - peminat kecil. Maskot Upin, Ipin dan Nuri menghiburkan semua pengunjung serta ahli Kelab Nuri ini dengan persembahan tarian serta kuiz yang dianjurkan sendiri oleh wakil dari Bank Rakyat.
Begitu banyak sekali adik-adik kecil yang mengambil serta berinteraksi di dalam acara ini. Ternyata sekali gabungan pertama kali dengan maskot Nuri serta pengawalan yang baik oleh juruacara membuatkan rata-rata pengunjung amat terhibur dengan persembahan mereka. Setelah selesai acara kuiz serta tarian semua pengunjung diberi peluang untuk bersalam dengan maskot kesayangan mereka.
Walaupun hanya separuh hari berada di sini, namun diharapkan pengunjung Karnival Bank Rakyat telah berpuas hati dengan penampilan maskot Upin & Ipin yang telah dianjurkan. Terima kasih juga kepada pihak penganjur yang telah memberi kerjasama serta bantuan semasa acara ini berlangsung.











