Monday, May 31, 2010

Sidang Media Upin & Ipin Musim ke 4 dan Laksamana Upin Ipin

Dah lama rasanya Les' Copaque tidak menganjurkan Sidang Media dan kali ini Majlis Sidang Media yang dianjurkan di Grand BlueWave, Shah Alam sekali lagi mengumpulkan pelbagai media tempatan untuk mempromosikan produk baru Les' Copaque. Antara tujuan utama ialah untuk memberitahu mengenai musim baru siri animasi Upin & Ipin yang sudah memasuki musim ke 4 dan bakal ditayangkan di TV9 dan TPI pada awal Jun ini. Siri musim baru yang menampilkan pelbagai episod baru yang lebih menarik dan menceritakan mengenai isu semasa pasti mampu melepaskan rindu kepada peminat setia siri ini yang telah berusia 4 tahun ini. Episod istimewa yang akan ditayangkan bermula pada 7 Jun ini menampilkan gelagat Upin & Ipin yang sedang sama-sama demam bola sepak sempena acara Piala Dunia yang bakal dilangsungkan.

Suasana ketika sidang media di Grand
BlueWave, Shah Alam

Maskot Upin & Ipin bersilat
sebagai acara pembukaan majlis

Majlis tersebut juga turut memperkenalkan adik Asyiela Putri sebagai pelakon suara baru bagi watak Upin & Ipin. Kali pertama diperkenalkan kepada pihak media, suara adik Asyiela membuatkan kesemua tetamu tidak senang duduk. Suaranya yang mirip dengan pelakon asal Upin & Ipin mengayakan dialog kembar itu dengan gayanya yang tersendiri. Perubahan pelakon suara ini sebenarnya adalah kerana memberi ruang dan peluang kepada bakat baru. Adik Asyiela Putri atau nama manjanya Syiela kini masih bersekolah di dalam darjah 4 dan profil lengkap mengenai dirinya akan dipaparkan di dalam blog ini pada masa yang akan datang.

Syahmi melakonkan watak Ehsan ketika
sesi memperkenalkan pelakon suara


Kesemua pelakon suara bergambar bersama
dengan maskot Upin & Ipin

Asyiela Putri ketika ditemuramah media

Selain dari siri Upin & Ipin, tanda tanya mengenai filem kedua Les' Copaque juga terjawab. Filem Laksamana Upin & Ipin yang telah diumumkan sebagai filem kedua selepas kejayaan filem Geng : Pengembaraan Bermula mendapat sambutan hangat dari kesemua media. Filem ini bakal ditayangkan dipawagam tanah air pada tahun 2012. Dengan memperuntukkan sebanyak 6 juta filem ini bakal mengabungkan kisah dongeng dari Malaysia dan juga Indonesia. Filem animasi yang menampilkan Upin & Ipin sebagai watak utama disamping kawan-kawannya turut menggunakan teknologi terkini iaitu stereoscopic 3D ataupun real 3D yang memerlukan penonton di pawagam memakai cermin mata 3D untuk kesan khas ditahap optimum. Dengan mengikuti trend dan teknologi terkini serta jalan cerita yang menarik, filem ini dijangkakan akan mencipta sejarahnya sendiri apabila ditayangkan di pawagam kelak.

Tn Hj Burhanuddin juga ditemuramah
oleh pihak media


TV3 Kid News menemuramah Ehsan

Antara media dari Karangkraf yang sedang melihat
demo menggunakan cermin mata 3D


Secara keseluruhannya majlis Sidang Media ini berlangsung dengan jayanya. Terima kasih kepada semua pihak media yang telah menghadirkan diri di majlis ini dan terima kasih juga kerana menyokong Les' Copaque Production. Kepada semua peminat setia Upin & Ipin jangan lupa untuk menyaksikan siri baru Upin & Ipin bermula 7 Jun ini tentunya di TV9 dan TPI.

Sarah (Susanti), Ida Shaheera( Kak Ros)
dan Ida Rahayu (Fizi)
Hasrul (Mail) juga turut
memeriahkan Sidang Media


Liputan Media -> MStar