Pasti ramai yang rindukan dengan kemeriahan Suarasa anjuran TV9 yang diadakan setiap tahun. Kali ini Suarasa membuka tirai dengan kehangatan Suarasa di padang MPK2, Kuantan. Menjadi lokasi pertama tahun ini, Suarasa Kuantan menampilkan beberapa perubahan khususnya di booth Adik di 9. Booth ini yang menggunakan latar belakang Upin & Ipin musim baru pasti menjadi tumpuan para pengunjung. Ruang booth yang lebih luas dan cantik ini membolehkan pelbagai aktiviti dijalankan dengan lebih teratur dan tersusun. Pengacara di booth ini pula tahun ini diambil alih oleh Afiq dan Wada dari Idola Kecil dan digandingkan dengan pengacara tetap iaitu Fimi.
Di setiap kali Suarasa, yang menjadi perhatian sudah tentulah 2 maskot comel iaitu maskot Upin & Ipin. Maskot yang menjadi kegilaan orang ramai ini, tampil pada kedua-dua hari di beberapa booth yang berlainan untuk menarik perhatian pengunjung. Seperti biasalah, disetiap penampilan mereka ini pasti ramai pengunjung yang akan mengambil kesempatan ini untuk bergambar ataupun bermesra bersama.
Upin & Ipin berada di booth Celcom
Pengalaman yang berbeza di Suarasa Kuantan ini ialah keadaan cuacanya yang begitu panas. Ketika ini sememangnya seluruh tanah air sedang mengalami cuaca panas dan kekurangan hujan. Namun begitu ianya tidak mematahkan semangat pengunjung untuk membanjiri kawasan tapak Suarasa untuk melihat personaliti TV9 khususnya. Pelbagai aktiviti yang dianjurkan dan diantaranya ialah pertandingan menarik Teh Tarik ketika sesi rakaman Nasi Lemak Kopi O.
Diharapkan semua pengunjung di Suarasa Kuantan tempoh hari terhibur dan gembira dengan penampilan Upin & Ipin. Selepas ini Suarasa akan ke mana pula ye? Ha, kalau nak tahu kita sama-sama tunggu nanti. Pasti seronok!






