Monday, June 29, 2009

Tayangan GENG di SIRIM

Walaupun tayangan filem GENG telah lama habis di panggung wayang diseluruh negara, namun permintaan untuk menganjurkan tayangan GENG tidak berhenti. Baru-baru ini iaitu pada 20 Jun 2009, Les' Copaque dengan kerjasama SIRIM telah menganjurkan tayangan wayang pacak untuk kakitangan SIRIM yang telah dilangsungkan di padang bola sepak SIRIM di Shah Alam. Hampir seribu kakitangan bersama keluarga masing-masing telah memenuhi ruang padang bola ini sejak dari petang hari lagi.

Suasana sebelum bermula tayangan
Ketika sesi menjamu selera
Persiapan terakhir sebelum tayangan

Berkonsepkan wayang pacak, namun kelengkapan visual serta audio memang berjaya membuat kebanyakan penonton tidak pejam mata menyaksikan filem GENG. Oleh kerana konsep tayangan yang agak santai, kebanyakkan dari penonton pada malam tersebut datang membawa tikar serta bantal masing-masing untuk berada di dalam keadaan selesa ketika tayangan berlangsung. Menurut SIRIM, ini merupakan percubaan pertama untuk mengadakan tayangan terbuka sebegini dan filem GENG memang menjadi pilihan pertama sebagai sajian. Jumlah kakitangan serta keluarga yang ingin menonton pula yang sudah mencecah lebih kurang 1000 orang itu pula semakin meningkat sehingga terpaksa menolak beberapa permohonan selepas itu.

Keseluruhan tayangan tamat sekitar pukul 11 malam dan sejurus selepas itu maskot Upin & Ipin muncul untuk sesi bergambar. Seolah-olah masih belum puas, kebanyakkan penonton serta kakitangan SIRIM tidak melepaskan peluang bergambar dengan maskot Upin & Ipin yang telah lama dinanti-nantikan. Ini pula merupakan pengalaman pertama Upin & Ipin ke SIRIM walaupun studio Les' Copaque terletak tidak berapa jauh dari pejabat SIRIM di Shah Alam ini.

Ketika bergambar bersama VIP SIRIM

Sesi bergambar bersama maskot Upin & Ipin

Les' Copaque ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan SIRIM yang telah banyak membantu disepanjang acara ini berlangsung.