Monday, January 03, 2011

Selamat Tahun Baru!

SELAMAT TAHUN BARU! Wah, sekejap saja nampaknya kita semua sudahpun melangkah ke tahun baru iaitu 2011. Sepanjang tahun 2010 pelbagai dugaan dan perkara yang telah kita lalui bersama. Kalau semua perasan, sepanjang tahun ini Upin & Ipin sangat sibuk dengan event serta acara bersama Kelab Upin & Ipin. Sehingga yang terkini ialah acara gilang gemilang Karnival Upin & Ipin yang baru saja selesai di SACC Convention Centre. Pada tahun ini, Karnival ini dijadualkan akan dianjurkan ke negeri-negeri lain pula.

Banyak lagi perkara yang lebih menarik dan hebat sedang diatur dan bakal dipersembahkan kepada semua peminat Upin & Ipin bukan sahaja di Malaysia, malahan di Indonesia juga. Kalau mengikut perancangan awal, khabarnya Teater Upin & Ipin bakal menemui peminat di beberapa buah bandar di Indonesia. Tidak lupa juga handphone Upin & Ipin yang bakal dilancarkan di sana nanti. Sama-samalah kita tunggu.

Buat peminat siri animasi Upin & Ipin pula, pada tahun ini siri-siri baru bakal ditayangkan di TV9 selama 30 minit disepanjang cuti sekolah. Kali ini episod yang lebih menarik dan seronok bakal ditayangkan khusus buat semua peminat. Tidak lupa juga tayangannya melalui Disney Channel yang tidak kurang hebatnya.

Begitulah perancangan tahun ini dan tanpa sokongan semua peminat pasti Upin & Ipin tidak akan berada ditahap seperti sekarang ini. Kami warga kerja Les' Copaque Production mengucapkan ribuan terima kasih dan teruskanlah menyokong kami. InsyaAllah kami akan terus menerbitkan produk yang lebih berkualiti dan setanding dengan animasi antarabangsa.