Adik-adik dari Wad Pedriatik 6, Pusat Perubatan Universiti Malaya baru-baru ini diceriakan dengan kunjungan maskot Upin & Ipin bersama-sama dengan pasukan dari Media Prima. Suasana wad tersebut terus berubah menjadi riang dan begitu meriah dengan kemunculan pertama kali idola adik-adik ini di wad tersebut. Selain dapat beramah mesra dengan maskot, adik-adik ini juga diberikan hadiah berupa barangan asli Upin & Ipin sumbangan Les' Copaque Production. Hampir 2 jam berada di sana, kegembiraan yang terpapar pada wajah adik-adik ini sungguh bermakna dan kepuasan yang tidak terhingga.
Kebanyakkan dari adik-adik di sini ditempat di wad Pedriatik 6 ini untuk pelbagai jenis penyakit kanser. Ada juga sebahagian dari adik-adik di sini sekecil 2 tahun dan sudahpun dikesan menghidap penyakit kanser. Begitu sebak mengenangkan nasib adik-adik ini, hanya buah tangan Upin & Ipin saja yang diharapkan dapat memberi kegembiraan kepada mereka. Lebih sedih lagi apabila, petugas di PPUM memberitahu ada sebahagian dari adik-adik ini ditinggalkan oleh ibupada mereka sebaik sahaja mendapat tahu yang anak mereka menghidap penyakit kanser. Bersyukurlah dengan apa yang kita perolehi dan sentiasalah mengingati nasib insan lain.
Walaupun masa untuk pulang sudah tiba, namun pasukan Upin & Ipin yang berada di situ seolah-olah tidak puas menghiburkan adik-adik di sini. Kegembiraan pada raut wajah mereka begitu sukar untuk dilupakan. Sempat juga, berjumpa dengan salah seorang peminat setia Upin & Ipin yang mempunyai pelbagai barangan Upin & Ipin seperti bantal peluk dan macam-macam lagi. Walaupun ianya bukanlah barangan asli, tetapi semangat dan minat yang tinggi terhadap Upin & Ipin membuatkan adik ini terus mewarnakan buku warna Upin & Ipin yang baru saja dihadiahkan.
InsyaAllah Upin & Ipin akan melawat PPUM lagi pada tahun hadapan. Apa-apapun, terima kasih kepada pihak PPUM kerana telah membantu pasukan Les' Copaque dan Media Prima disepanjang kami berada di sana.




