Wah, nampaknya suasana ujibakat khas untuk rancangan Kelab Upin & Ipin yang telah dilangsungkan petang tadi sungguh meriah. Sesi ujibakat untuk mencari peserta di dalam rancangan terbaru Kelab Upin & Ipin ini, sebenarnya berlangsung selama 2 hari iaitu pada 18 dan 19 September. Bakat-bakat yang dicari oleh penerbit rancangan ini ialah adik-adik yang berumur di dalam lingkungan 7 hingga 13 tahun dan boleh berlakon, menyanyi, bercerita ataupun mengacara. Rancangan ini nanti bakal disiarkan di TV9 pada tahun hadapan dan ini merupakan platform bagi adik-adik untuk menjadi terkenal seperti Upin & Ipin. Mari kita lihat bagaimanakah suasana ketika sesi ujibakat yang telah dilangsugkan.
Salah seorang adik sedangmenunjukkan bakatnya
Pada hari pertama lagi, nampaknya studio ujibakat telah diserang seawal 10 pagi. Masing-masing memang tidak sabar untuk menunjukkan bakat terpendam yang telah lama tersimpan. Walaupun masih kecil, tetapi ada yang sungguh berbakat di dalam bidang nyanyian dan lakonan. Tak kurang juga yang menunjukkan bakat menari dan menyanyikan lagu nasyid. Adik-adik ini selain menunjukkan bakat masing-masing, sebenarnya mereka juga diuji di dalam pelbagai aspek lain seperti komunikasi, kreativiti dan penampilan. Menurut kata penerbit, adik-adik ini juga bakal di asah bakalnya sekiranya terdapat potensi besar. Kepada para peserta digalakkan untuk mempersembahkan bakat-bakat lain sekiranya ada seperti berpantun, bermain silap mata ataupun bermain alat muzik. Semuanya ini merupakan mata tambahan kepada peserta.
Juri sedang berinteraksi dengan peserta
Bersemangat melaungkan Betul, betul, betul sebelum masuk ke dalam bilik ujibakat
Sekiranya ada adik-adik di luar sana yang ingin menyertai sesi ujibakat ini janganlah lepaskan peluang pada hari ke 2 iaitu pada 19 Sept 2010 ini bermula dari 10 pagi hingga 5 petang. Sesi ujibakat ini akan dilangsungkan di Studio Bruang Filem (di atas Geng's Corner), Seksyen 13, Shah Alam. Jumpa di sana!








