Thursday, October 22, 2009

Atok Bercerita 5: Harta Intelek

He..he..banyak orang beranggapan bahawa Upin dan Ipin menjadi terkenal kerana ilham seorang yang begitu 'talented". Sebenarnya tidak, jika dibiarkan dulu mungkin Upin dan Ipin pun tidak terkenal kerana fokus mereka adalah untuk mempopularkan Lim dan Badrul yang menjadi teraju utama didalam filem "Geng". Tapi apakan daya, lembu punya susu, sapi dapat nama.

10. Harta Intelek

Didalam industri yang kejayaannya banyak bergantung kepada populariti terhadap sesuatu karya yang dihasilkan, pemahaman tentang betapa pentingnya harta intelek harus dipertahankan amatlah diperlukan. Ini amat perlu bagi sesebuah syarikat itu untuk menghadapi masaalah, bukan sahaja dengan sindiket citak rompak, tetapi dengan pengkarya itu sendiri. Syarikat bolih tumbang dengan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pelabur kerugian yang besar jika menghadapi masaalah tersebut.

Penghasilan animasi 3D dan siri komik adalah jauh berbeza, walaupun kedua-dua nya mempopularkan sesuatu karakter sehingga terkenal. Untuk siri komik, ia bolih dihasilkan olih seorang pengkarya sehingga terkenal, tetapi untuk siri animasi 3d, ia tidak mungkin dihasilkan olih hanya seorang pengkarya. Makanya, tiada seorang pun yang bolih mengaku yang ia telah berjaya melahirkan Upin dan Ipin, kerana penghasilannya melibatkan semua tenaga kerja yang telah bertungkus lumus menjayakannya.

Untuk siri Upin dan Ipin, setiap ahli pasukan menyumbang kepada kejayaannya. Dari mula karakter itu diilhamkan, penghasilan skrip, penyediaan lakonan suara, penghasilan animasi, sehinggalah siri tersebut siap melibatkan semua kakitangan yang mempunyai kemahiran dibidang masing-masing. Syarikat telah mengambil pendekatan untuk mengetengahkan hanya beberapa orang peneraju syarikat didalam promosi produknya bagi memudahkan peroses pemasaran dan penglibatan didalam urusan pengurusan. Ini dirangka dengan tujuan supaya mereka dapat mengambil alih pengurusan syarikat dalam waktu terdekat apabila Atok ingin mengundur diri.

Harta intelek harus didaftarkan , samaada didalam Negara atau diluar Negara. Didalam Negara, kita bolih menggunakan khidmat MyIPO. Prosesnya sungguh memeningkan dan melibatkan jumlah wang yang banyak. Banyak syarikat yang mempunyai modal yang terhad tidak mahu menangani proses ini kerana ia melibatkan khidmat peguam yang sekiranya tidak bernasib baik akan mendapat nasihat yang salah menyebabkan kerugian banyak wang. Proses pendaftaran sesungguhnya Nampak mudah, tetapi apabila tindakan hendak diambil terhadap pengusaha citak rompak, barulah diketahui sama ada apa yang didaftarkan itu mencukupi untuk mengambil tindakan undang-undang. Kadang-kadang perkara ini dapat menjejaskan kita dari menumpukan sepenuh perhatian kepada urusan utama syarikat kita, ia-itu berkarya. Olih itu Atok menyarankan kepada syarikat yang telah berjaya membangunkan produk dan mempunyai sedikit kelebihan modal untuk mendapatkan khidmat seorang peguam secara tetap untuk menangani perkara ini.

Banyak orang beranggapan, amat mudah untuk menyeret pihak yang menjual barangan citak rompak kemuka pengadilan. Tetapi, hakikatnya ia merupakan satu perkara yang amat rumit. Mahkamah memerlukan bukti yang sahih untuk menyabitkan satu-satu kesalahan itu, tetapi untuk harta intelek, undang-undang yang sedia ada terlalu banyak kelonggaran yang dapat memutar belitkan bukti yang ada sehingga mereka terlepas. Proses untuk membawa mereka kemuka pengadilan memerlukan belanja yang banyak dan untuk membawa mereka yang mendalangi perniagaan tersebut adalah terlalu sukar. Kita hanya berhadapan dengan pengusaha kecil yang menjual barangan citak rompak dipasar malam dan untuk mengambil tindakan sudah tentulah tidak berbaloi dengan kosnya.

He..he..Atok rasa cukup untuk kali ini.