He..he..ada juga yang minat nak dengar Atok bercerita tentang berniaga ni. Eloklah tu...supay a tak banyak sikit, paham tentang berniaga. Jangan nanti bodoh sombong, lepas tu tuduh orang menipu. Hari ni cucu Atok semua masih di Cerating bercuti, dapatlah Atok sambung lagi cerita Atok.
3. Pembentangan Projek
Apabila dibagi peluang membentangkan projek kepada pelabur, gunakalah kesempatan itu dengan sebaiknya. Sebelum bersetuju membuat pembentangan, buat persediaan dengan menyelidik latar belakang pelabur. Berbagai cara bolih digunakan untuk menyelidik latar belakang pelabur, kawan-kawan dia, latar belakang syarikatnya dan macam-macam lagi. Jika sekiranya, ia mempunyai sejarah yang tidak berapa nak bagus dari segi perniagaan, lebih baik jangan di teruskan. Ini disebabkan , sejarah itu mungkin berulang lagi kepada pihak yang mencadangkan projek.
Sewaktu mencadangkan projek, gunakanlah kesempatan itu meminta imbuhan yang setimpal dengan kekuatan projek yang dicadangkan. Imbuhan itu boleh diminta dalam bentuk, gaji, bonus, jumlah saham percuma , perkongsian keuntungan, jawatan dan lain-lain lagi. Tapi permintaan yang melampau sudah tentu menakutkan pelabur untuk menjadikan impian cucu itu menjadi kenyataan. Belajarlah membuat minit mesyuarat sewaktu mencadangkan projek dan dapatkan tanda tangan semua yang hadhir tanda setuju kepada apa yang dibincangkan dalam mesuarat tersebut. Ini kerana orang muda mudah lupa, sedangkan pelabur yang berjaya biasanya akan mengotakan janji mereka kerana adat berniaga adalah memegang teguh kepada janji mereka. Dunia perniagaan di Malaysia ini tidaklah besar sangat untuk seseorang itu berniaga dengan penuh integrity dan menjaga tata susila perniagaan mereka.
4. Penubuhan syarikat baru.
Biasanya pihak pelabur akan mencadangkan penubuhan syarikat baru untuk menjalankan projek tersebut. Jika sekiranya ia mencadangkan dimasukkan dalm syarikat yang sedia ada, mintalah dengan cara yang baik untuk ditubuhkan syarikat yang baru. Ini disebabkan akan terjadi kesukaran dikemudian hari untuk memantau untung rugi projek tersebut jika ia digabungkan dengan perniagaan pelabur yang sedia ada.
Biasanya syarikat yang ditubuhkan itu hendaklah Sdn. Bhd., dengan modal berbayar sekurang-kurangnya RM100,000. Ini kerana tanpa modal berbayar, sukar untuk memulakan perniagaan dan sekurang-kurangnya untuk waktu beberapa bulan yang pertama sudah tentulah ada gaji yang disediakan. Modal sebanyak itu juga diperlukan untuk syarikat layak memohon pendaftaran untuk mendapatkan segala macam bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Sewaktu persetujuan dicapai untuk meneruskan projek ini, biasanya pelabur akan menawarkan sejumlah saham secara percuma tetapi dengan syarat saham tersebut dikembalikan sewaktu meninggalkan syarikat. Untuk pelabur, pastikan semua yang mendapat saham percuma ini menandatangani borang memindah milik saham dan surat perletakan jawatan sebagai pengarah yang tidak bertarikh. Ini amat perlu dikemudian hari, kerana anak-anak muda ini mungkin meninggalkan pelabur apabila berjaya kelak kerana, sudah tentu ada pihak luar yang meyakinkan mereka untuk membuat perniagaan itu sendiri dan menuduh pelabur menjadi kaya atas titik peluh mereka. Biasakan untuk membuat “share holders agreement” sewaktu menubuhkan syarikat yang baru supaya tidak menjadi pertelingkahan di kemudian hari.
4. Saham Syarikat.
Setiap syarikat Sdn. Bhd., mempunyai modal yang dibenarkan dan modal yang berbayar. Syarikat yang ditubuhkan adalah merupakan suatu badan yang sah disisi undang-undang untuk menjalankan perniagaan dan jumlah liabiliti yang dapat dituntut oleh mana-mana pihak terhadap syarikat hanyalah terhad kepada modal yang dibenarkan. Jika modal dibenarkan itu tinggi, stamp dutinya agak mahal tetapi mempunyai kekuatan untuk memohon pinjaman dari bank. Modal berbayar adalah jumlah wang yang digunakan untuk perniagaan syarikat itu sebagai modal dan ia dibuktikan dalam bentuk saham. Harga saham sewaktu penubuhan syarikat bernilai RM1 untuk setiap saham dan direkodkan didalam borang 49 serta didaftarkan di suruhan jaya syarikat. Pastikan perkara ini di uruskan kerana ini adalah bukti kepada semua janji yang dipersetujui semasa penubuhan syarikat. Untuk Les’ Copaque, sememangnya mereka mendapat sejumlah saham percuma sewaktu penubuhan syarikat dan telah dipulangkan ketika keluar dari syarikat.
Apabila semua modal yang dibenarkan telah habis digunakan, ada dua cara digunakan untuk menambah modal syarikat. Pertama, pemegang saham bolih membuat “cash call” untuk menambah modal dalam bentuk saham dan menaikkan modal yang dibenarkan atau pelabur memberi pinjaman kepada syarikat. Jika pemegang saham membuat “cash call”, semua pemegang saham harus mengadakan sejumlah wang mengikut peratusan saham yang dipegang. Jika ada pihak yang tidak mampu mengeluarkan wang tersebut, pihak yang mampu akan membeli semua saham yang ditawarkan menyebabkan jumlah peratusan saham yang dipegang akan bertukar. Proses ini dinamakan “share dilution” dan ini mempengaruhi proses pengagihan dividen dikemudian hari. Jika sekiranya pihak pelabur memberi pinjaman untuk syarikat beroperasi , ia direkodkan dalm bentuk pinjaman oleh lembaga pengarah. Mengikut tata-cara perniagaan, pinjaman ini harus dilunaskan dahulu sebelum sebarang bentuk dividen dapat diagihkan.
Untuk Les’ Copaque kedua-dua cara tersebut, bagi penyediaan modal, telah digunakan untuk menampung operasi selama lebih dari tiga tahun beroperasi tanpa pendapatan. Sejumlah RM 3 juta telah Atok pinjamkan dan sehingga hari ini, sebahagian besarnya, masih belum dapat dilunaskan lagi. Biasanya lembaga pengarah mempunyai kuasa untuk menandatangani cek dan mengetahui aliran wang keluar dan masuk. Mereka sudah tentu mengetahui kedudukan kewangan syarikat dan jumlah hutang yang ditanggung olih syarikat. Akan tetapi, terdapat mereka yang berkaliber dan berniat jahat dapat mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain dengan tomahan yang hasil titik peluh mereka hanya mengayakan pelabur dan mereka tidak mendapat sebarang imbuhan yang setimpal. Hanya lembaga pengarah sahaja yang mengetahui aliran wang keluar masuk untuk sesebuah syarikat, sedangkan kakitangan lain tidak mengetahui kedudukan yang sebenar.
5. Risiko Pelaburan Dalam Bidang Animasi
Pelaburan dalam bidang animasi mempunyai risiko yang begitu tinggi. Setiap pelaburan hanya akan diketahui pulangannya setelah produk dikeluarkan dan memerlukan modal yang tinggi untuk menghasilkan produk tersebut. Pembuatan suatu produk animasi, terutamanya 3d, mengambil masa yang lama dan modal untuk gaji pekerja harus disediakan secukupnya bagi menanggung mereka yang terlibat tanpa mendapat sebarang pulangan sehingga produk dikeluarkan. Perisian untuk membuat animasi ini agak tinggi, sekitar RM13,000 untuk sebuah perisian. Komputer juga memerlukan belanja yang tinggi tergantung kepada jenis computer yang digunakan. Untuk mengeluarkan produk yang popular, kita tidak bolih menggunakan perisian citak rompak kerana pembekal perisian akan memantau jumlah perisian yang dibeli bagi menghasilkan animasi tersebut dan bolih membuat anggaran berapa ramai pekerja yang terlibat.
Sebuah produk hanya akan diketahui popularitinya hanya setelah ditayangkan dan sejumlah besar wang yang telah dilaburkan untuk menghasilkannya. Untuk filem Geng, sememangnya kita telah mendapat kutipan tiket yang tinggi, RM6.3 juta. Walau bagaimanapun, kita hanya mendapat 50% dari jumlah tersebut setelah ditolak 20% untuk cukai hiburan yang dikenakan oleh pihak berkuasa. Selebihnya, adalah hak panggung wayang yang menayangkan filem tersebut. Dari jumlah tersebut , hanya 80% sahaja yang baru diterima dari pihak panggung kerana mereka memang liat untuk memulangkan hak pengusaha filem. Makanya , pengusaha filem menghadapi masaalah untuk terus maju. Kerajaan akan memulang sebahagian dari cukai hiburan untuk menjadi galakan kepada pengusaha filem, tetapi proses pemulangan itu mengambil masa yang lama. Sehingga hari ini, kami hanya menerima sebanyak 40% dari jumlah yang patut kami terima.
Untuk siri television, hasil jualan tidak akan mendapat memberi pulangan yang setimpal dengan pelaburan jika kita hanya menjual didalam negeri sahaja. Untuk siri Upin dan Ipin, ia hanya dapat menampung kos sahaja dan untuk mendapat keuntungan ia harus dijual dilebih banyak setesen television diluar Negara. Walaubagaimanapun, diluar Negara, harga yang ditawarkan terlalu rendah sekitar US$ 500 – US$1000 bagi rancangan 30 minit sedangkan kos pemasarannya begitu tinggi sekali.
Bagi Les’ Copaque, kos kaki tangan senantiasa meningkat setiap tahun, kerana kami mengamalkan kenaikan gaji yang berpatutan dan pemberian bonus setiap tahun. Dari mula beroperasi, kakitangan tidak pernah terlambat gaji dan tidak pernah tidak mendapat bonus walaupun syarikat tidak mendapat sebarang hasil kerana produk belum dapat dikeluarkan. Sememangnya pada awalnya syarikat tidak mampu memberi gaji yang tinggi dan mereka bersedia berkorban untuk mencapai cita-cita mereka. Walau bagaimanapun, ketika itu, mereka tetap mendapat imbuhan sekitar RM 2000 sebulan bersuaian dengan pengalaman mereka yang baru mendapat ijazah. Seperti yang Atok katakan tadi setiap tahun gaji mereka dinaikkkan dan mereka mendapat bonus antara 1 hingga 2 setengah bulan tergantung kepada prestasi mereka.
Tahun ini, setelah kedudukan kewangan syarikat bertambah baik, gaji mereka telah dinaikkan kepada hampir RM 4000 sebulan kepada hampir semua peneraju syarikat yang telah bertungkus lumus menjayakan syarikat. Atok rasa ia berpatutan , kerana itulah gaji yang Atok dapat sewaktu Atok meninggalkan Petronas dahulu setelah sepuloh tahun berkhidmat. Sememangnya Atok telah menyediakan sebahagian dari wang hasil filem Geng untuk diagihkan sebagai bonus kepada mereka yang terlibat dalam pembuatan filem tersebut mengikut peratusan jumlah waktu yang mereka terlibat. Pembahagian serta jumlah wang yang mereka dapat sebagai bonus telah dijelaskan kepada lembaga pengarah dan hanya menunggu waktu yang sesuai untuk diagihkan walaupun, seperti yang dimaklumkan tadi, hutang lembaga pengarah belum dapat dilunaskan. Mungkin kerana tidak puas hati yang bonus tersebut ingin diagih-agihkan kepada semua kakitangan yang terlibat, sebahagian dari mereka merancangkan untuk membuat sesuatu bagi menjatuhkan syarikat.
Kakitangan telah di api-apikan untuk meminta gaji yang lebih tinggi, malah ada yang diarahkan untuk memohon kerja disyarikat lain dan surat tawaran tersebut digunakan untuk memaksa Atok menaikkan tangga gaji yang lebih tinggi. Atok sememangnya berbangga terhadap keyakinan industri kepada kakitangan Les’ Copaque kerana gaji yang mereka tawarkan memangnya lebih baik dari apa yang mereka dapat, tetapi tidaklah terlau jauh dari apa yang mereka dapat sehingga sanggup mengorbankan kesetian mereka terhadap perniagaan yang mereka bangunkan.
Atok rasa cukup kali ini Atok bercerita dan Atok akan sambong lagi sekiranya Atok tidak sibok. Kepada semua pelabur, hati-hati dalam menagani mereka semua jangan sampai difitnah yang kita kaya atas titik peluh mereka sedangkan selama ini segala rezeki mereka, kita yang sediakan tanpa mendapat ucapan terima kasih.
He..he...Atok berdoa aja supaya mereka dirahmati Allah..