Tuesday, October 20, 2009

Atok Bercerita 4: Kerenah Penggiat

He..he..Atok sambong lagi cerita Atok tentang selok belok industri ini supaya menjadi pedoman kepada mereka yang hendak berkecimpong dalam bisnis ni. Maklumlah, kalau kerja dengan orang tua nanti kena tipu dan hanya mengayakan nya aje...pada yang minat, ini kisah seterusnya..


8. Disiplin dan etika kerja kakitangan.

Rata-rata mereka yang terlibat didalam bidang ini adalah pengkarya sama seperti seorang pelukis. Olih kerana mereka telah biasa sewaktu di Universiti, membuat kerja mereka di waktu malam sehingga pagi dan bangun lewat, mereka sudah pasti meminta kerja secara “flexi hours”. Konon ilham hanya datang pada waktu malam. Jika diturutkan, ia boleh menghancurkan syarikat kerana apabila tiba waktu tengah malam, kebanyakan lebih banyak bermain game atau pun menonton wayang yang dimuat turun dari internet. Di Les’ Copaque, kami menganggap bidang ini sama seperti kerjaya yang lain, seperti jurutera dan akauntan. Mereka mestilah mempunyai waktu pejabat yang tetap dan seragam supaya hasil kerja dan prestasi mereka mudah di pantau. Perancangan syarikat pun mudah diatur.

Jika sekiranya kerja tidak dapat dihabiskan pada waktu pejabat, mereka harus berusaha untuk bekerja lebih waktu untuk menyiapkan tugasan mereka kerana didalam bidang ini dateline adalah ketat. Setiap proses pembuatannya saling bergantung antara satu sama lain, jika ada satu proses yang lambat, semuanya akan tertunda.

Salah satu penyakit yang begitu menular didalam industri ini ialah “free lancing”. Penyakit ini terjadi apabila pensyarah mereka mengambil projek luar untuk mencari rezeki yang lebih. Kerja-kerja itu akan diagihkan kepada penuntut mereka dan diberikan sedikit imbuhan. Apabila mereka mula bekerja , penyakit ini mula menular di sebabkan mereka dapat menawarkan perkhidmatan dengan harga yang rendah sekali. Biasanya, mereka yang menawarkan projek tersebut adalah syarikat-syarikat yang membuat iklan, tetapi tidak mempunyai kakitangan yang cukup. Sememangnya mereka tidak membuat kerja tersebut di waktu pejabat, tetapi mereka membuat kerja itu di waktu malam dan akhirnya mereka tidak cukup rehat. Pada waktu pejabat mereka akan kelihatan lesu dan tidak bermaya untuk menjadi produktif dan merugikan syarikat yang membayar gaji mereka.

Di syarikat kami, kerja-kerja free lancing ini tidak dibenarkan kerana sebab yang diatas. Sesiapa yang tertangkap mengambil kerja tersebut bolih diambil tindakan disiplin sehingga bolih dipecat dari jawatan mereka. Pengusaha syarikat harus memantau keadaan ini dengan ketat kerana selalunya mereka yang mendapat projek adalah mereka yang sudah mempunyai nama dan menjadi peneraju syarikat.
Sekali lagi, Atok ingin mengingatkan kepada semua pengusaha, didalam industri ini supaya memantau keadaan ini dengan ketat kerana ia bolih menghancurkan syarikat.

Setiap syarikat harus membangunkan sistem atau pipeline yang tidak bergantung kepada segelintir kakitangan yang dipercayai sahaja. Setiap jawatan yang penting harus ada pelapis yang sedia mengambil alih tugasan sekiranya mereka yang dipertanggung jawab itu berpaling tadah. Jika terjadi sebarang masaalah dengan kakitangan , ia tidak memberi impak yang besar kepada perjalanan syarikat tersebut.

9. Merchandising

Merchandising adalah merupakan sumber pendapatan yang lumayan didalam industri ini. Walau bagaimana pun, ia banyak tergantung kepada populariti siri animasi tersebut. Disney sendiri menjana 70% pendapatan dari merchandising dan licencing. Untuk memastikan yang perniagaan ini dapat dibangunkan ,sudah tentulah barangan citak rompak siri tersebut yang dipasarkan dipasar malam boleh menjadi penanda aras. Sekiranya ia begitu laris, maka kita yakin yang ia dapat dibangunkan sebagai suatu perniagaan yang besar.

Kepakaran untuk mengendalikan perniagaan ini amat berbeda dari industri animasi. Ia lebih kepada perniagaan retail yang memerlukan kepakaran mengendalikan stock, mencari pasaran baru, mengeluarkan produk yang bolih dijual, mendapatkan pembekal yang sesuai , pengurusan aliran tunai yang cekap, logistik dan sebagainya. Ia memerlukan seorang yang berpengalaman luas didalam bidang ini untuk membangunkan perniagaan tersebut. Olih kerana ia melibatkan pengaliran wang keluar dan masuk secara tunai, ketirisan mudah berlaku jika sistem pemantauan yang cekap tidak dapat dibangunkan.

Selain dari itu, berurusan dengan pembekal juga agak memeningkan. Industri membuat barangan permainan tidaklah begitu berkembang dinegara kita disebabkan tenaga buruh begitu mahal. Kebanyakan barangan diimpot dari Cina atau pun dari Negara jiran. Kebanyakan pembekal adalah orang tengah yang mau mengaut untung berlipat ganda. Internet dapat digunakan untuk mencari pembekal yang sesuai yang merupakan pengilang. Tetapi pengusaha harus belajar dengan mereka yang berpengalaman tentang cara mengimpot barangan tersebut agar tidak mudah tertipu. Banyak perkara yang harus dipelajari terlebih dahulu sebelum kita dapat membangunkan perniagaan ini secara besar-besaran.

He..he.. Atok akan sambung lagi cerita ini nanti