Thursday, September 17, 2009

Berbuka Puasa di Saujana

Pada bulan Ramadhan kali ini kakitangan Les' Copaque Production juga tidak melepaskan peluang berbuka puasa bersama-sama. Kali ini lokasi berbuka puasa yang telah dipilih ialah Saujana Resort Shah Alam. Terletak kurang 10 minit dari studio Les' Copaque sememangnya destinasi berbuka puasa pada tahun ini sangat unik dan menarik. Lebih kurang 80 orang kakitangan termasuk sahabat handai turut memeriahkan majlis berbuka puasa pada kali ini.

Antara menu yang disediakan

Rata-rata dari warga kerja Les' Copaque juga tidak melepaskan peluang bersantai bersama-sama setelah mengharungi pelbagai deadline ketika menyiapkan kerja masing-masing di studio. Dengan jumlah yang agak ramai, kakitangan Les' Copaque sahaja sudah kelihatan seolah-olah mengawal sebahagian dari sudut berbuka puasa di situ. Tidak lupa beberapa pelakon suara juga dijemput untuk memeriahkan majlis ini termasuklah keluarga adik Nurfatiah bersama adik Hasrul iaitu pelakon suara bagi watak Mail.

Bergambar sebelum sebarang acara
sudah menjadi rutin biasa
Beberapa warga kerja Les' Copaque sedang
menunggu waktu berbuka


Antara kakitangan Les' Copaque yang tidak
melepaskan peluang bergambar

Hasrol bersama keluarga Fathiah bersedia
untuk berbuka puasa

Apa yang menariknya di Saujana, ialah suasana berbuka di sini. Berbuka di sebelah kolam renang dan pilihan makanan yang sungguh enak membuatkan masing-masing terlupa mengenai soal kerja sebentar. Menyediakan pelbagai pilihan dari makanan western hinggalah ke tempatan dan beberapa menu utama yang menjadi pilihan ialah kambing panggang, pari bakar, ketam serta popiah.

Doa berbuka puasa

Masing-masing bersedia untuk berbuka puasa
Antara menu makanan
Buah-buahan juga tidak ketinggalan

Selain menjamu juadah berbuka, majlis berbuka kali ini juga dimeriahkan dengan cabutan bertuah serta gurau senda oleh pengerusi majlis iaitu saudara Afiq. Cabutan bertuah yang sebahagian darinya ditaja boleh World Of Geng ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh kebanyakkan warga kerja. Dari hadiah sekecil bantal sehinggalah kepada sebesar hamper dihadiahkan kepada warga kerja yang bertuah dan bernasib baik.

Tn Haji Burhanuddin ketika menyampaikan ucapan

Afiq petah mengendalikan majlis

Ijat bertuah memenangi bantal Upin
Aina antara bertuah memenangi hamper besar

Warga Les' Copaqye bergambar bersama-sama

Alhamdullilah majlis berbuka puasa tempoh hari berjalan dengan lancar dan meriah. Diharapkan semua warga kerja Les' Copaque akan lebih bersemangat menghasilkan animasi yang lebih berkualiti pada masa akan datang. Selamat Hari Raya kepada semua warga kerja Les' Copaque serta semua peminat setia yang mengikuti perkembangan syarikat sejak dulu lagi.