
Yuki @ Mei Mei di Kre8tif! Digital Content Conference
Pada 7 - 9 Disember 2009 telah berlangsungnya acara MSC Malaysia Kre8tif! Digital Content Conference di The Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur. Persidangan ini dianjurkan buat pertama kali oleh pihak MDEC untuk memperkasa dan memacu pertumbuhan industri kreatif khususnya dalam bidang animasi, multimedia dan I.T. di Malaysia.
Persidangan 3 hari ini dipenuhi dengan ceramah-ceramah dari penggiat industri dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pengalaman, cara kerja, dan rahsia kejayaan mereka di dalam industri kreatif yang sedang membangun di negara ini. Beberapa tenaga kerja Les Copaque telah menghadiri beberapa bengkel dan ceramah tersebut. Ternyata ini merupakan satu pengalaman yang istimewa dan bermakna kerana kami berpeluang melihat tokoh-tokoh industri kreatif dengan lebih dekat.
Aktiviti kemuncak persidangan ini ialah Malam Anugerah Kre8tif!. Sukacita dimaklumkan bahawa Les Copaque telah memenangi 2 anugerah pada malam itu. Anugerah tersebut adalah Best Editor dan Best Music Score untuk filem Geng: Pengembaraan Bermula. Tahniah diucapkan kepada Les Copaque atas kejayaan ini. Dengan penghargaan ini, kami berazam akan meningkatkan lagi mutu dan kualiti produksi akan datang.

Faiz posing bersama trophy "Best Editor" untuk filem Geng.


