BAYANGKAN filem animasi Sang Kancil yang dihasilkan Filem Negara Malaysia (FNM), ia mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan walaupun tempoh tayangan hanya beberapa minit.
Bayangkan berapa banyak kos yang terpaksa dilaburkan sedangkan prosesnya boleh dipercepatkan dan kerugian dapat dielakkan jika menggunakan teknologi tinggi.
Justeru, pengeluar filem animasi terkemuka negara, Les Copaque, mengguna pakai teknologi perkomputeran grid bagi menghasilkan filem animasi bermutu dengan kerjasama Mimos Berhad.
Pengarah Teknikal dan Produksi, Les Copaque Production Sdn Bhd, Mohd Safwan Ab Karim, berkata syarikatnya yang memulakan operasi pada Disember 2005 melalui projek Geng, filem animasi mengenai dua budak yang menempuh misteri ketika pulang ke kampung.
Ia menggunakan komputer peribadi biasa untuk memproses warna.
Animasi Geng: The Adventure Begins dijangka ditayangkan ketika Kongres Teknologi Maklumat Dunia 2008 (WCIT08), kini dalam proses rendering menggunakan teknologi canggih tajaan Mimos.
"Di peringkat awal, kami menjalankan penyelidikan berkaitan teknologi animasi dan ia mengambil masa dua tahun menyiapkan animasi menggunakan 32 pekerja sedia ada," katanya.
Bagaimanapun, katanya penggunaan teknologi pengkomputeran grid membolehkan proses yang sama dilakukan lebih pantas dan hasil bermutu.
Penyelia 'Rendering', Mohd Zarin Abdul Karim, berkata penggunaaan teknologi canggih Mimos membolehkan syarikat itu menghasilkan filem animasi berkualiti dan setaraf dengan pengeluar antarabangsa.
"Animasi Geng siap 80 peratus dan kami dalam proses perkomputeran grid.
"Perkomputeran grid mampu mengawal kerja 'render' selain menyelia hasil yang belum disiapkan," katanya.
Menurutnya, Grid PC memiliki pemprosesan tinggi sehingga 32 gigabit (GB) berbanding komputer biasa, 2GB.
Ini membolehkan kerja proses pewarnaan animasi menjadi pantas.
"Komputer peribadi (PC) biasa mengambil masa lebih setahun memproses animasi selama 90 minit.
"Dengan menggunakan perkomputeran grid, proses pewarnaan dapat disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan sahaja," katanya.
Beliau berkata, setiap satu saat dalam animasi memerlukan 25 kerangka untuk menghasilkan pergerakan dan diproses selama tiga hingga empat (pewarnaan) menggunakan PC biasa.
"Perkomputeran grid hanya mengambil masa seminit untuk proses yang sama tanpa menjejaskan kualiti warna," katanya.
Safwan berkata, jika animasi di Malaysia mahu diiktiraf di peringkat antarabangsa, ia perlu mengambil kira setiap lukisan atau karektor yang dihasilkan seperti alunan rambut, mimik muka dan pergerakan.
"Ini memerlukan kerangka yang banyak untuk mencipta pelbagai pergerakan dan mengambil masa bertahun jika menggunakan PC biasa.
"Perkomputeran grid membantu mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti animasi setanding produksi luar seperti Pixar dan Disney," katanya.
Naib Presiden Pembangunan Perisian dan Kejuruteraan Pusat, Mimos Berhad, Thillai Raj, berkata kekuatan pengkomputeran grid seolah-olah seseorang itu menggunakan 256 unit pemprosesan pusat (CPU) untuk proses rendering.
Menurutnya, perkomputeran grid atau 'Knowledge Grid' dilancarkan tahun lalu turut diguna pakai di Jepun dan negara Eropah lain.
"Ada dua jenis perkomputeran grid iaitu gabungan ratusan komputer dalam satu tempat dan data grid yang menyimpan maklumat bersaiz besar.
"Seperti animasi pada satu kerangka untuk proses rendering yang mempunyai data sebesar 10 hingga 20 megabait dihasilkan Les Copaque tentunya memerlukan setoran banyak," katanya.
Manakala satu animasi sekurang-kurangnya memerlukan lapan terabait, bayangkan jika menggunakan PC biasa?
"Setakat ini data sedia ada disimpan di Taman Teknologi Malaysia (TPM) dan kami merancang membuka setoran tambahan di Taman Teknologi Kulim," katanya.
Perkomputeran grid bukan saja untuk industri animasi tetapi boleh diperluas dalam sektor pendidikan dan kerja perkomputeran bagi kejuruteraan mekanikal atau elektrikal.
"Kami menyambung grid di universiti tempatan ke grid Eropah dan India sebagai platform bertukar idea dalam pelbagai penyelidikan serta pendidikan," katanya.
Penggunaan perkomputeran grid mudah kerana ia boleh dikendalikan tanpa memasukkan arahan tertentu.
"Kami menghantar beberapa kerja mereka melalui jalur lebar untuk menghubungkan pejabat dan sistem perkomputeran grid di TPM sebelum menyiapkan proses render," katanya.
Zarin berkata, dalam proses animasi, ia tugas yang rumit terutama memasukkan warna dan membina bayang-bayang untuk setiap watak yang siap.
Semua ini memerlukan komputer berkuasa tinggi untuk memproses setiap pergerakan termasuk memori dan pemprosesan.
Justeru, penggunakan perkomputeran grid membantu mempercepatkan proses.
Menurutnya, melalui perkomputeran grid, pengeluar industri animasi tempatan tidak perlu bergantung kepada negara luar malah mampu menghasilkan mutu kerja yang tinggi.
"Bayangkan untuk menghasilkan animasi yang mengambil masa beberapa minit, kita mengambil masa bertahun untuk menyiapkan.
"Tetapi, teknologi sedia ada membolehkan ia disiapkan dalam tempoh singkat," katanya.
Beliau berkata, setakat ini beberapa syarikat korporat termasuk Proton menggunakan teknologi perkomputeran grid bagi meningkat mutu kerja.
Penggunaan perkomputeran grid juga terjamin kerana ia sentiasa dipantau kakitangan Mimos termasuk menghalang kehadiran virus.
Sistem keselamatan biometrik turut diperkenalkan bagi meningkatkan kawalan ke atas data dan mengelak daripada dicuri.