
Hai semua. Apa khabar? Kali ini merupakan giliran Audio Department untuk memenuhi slot Team-Troduction. Audio Department juga dikenali dengan nama samarannya Audiopeople. Tugas kami ialah menyediakan semua jenis audio untuk produksi-produksi Les Copaque. Ini termasuklah rakaman lakonan suara, penyediaan kesan bunyi dan juga muzik. Setakat ni, Audiopeople dianggotai oleh 5 orang. Jom kita kenali mereka dengan lebih rapat.
Mohd Shafiq
Bertugas sebagai Creative Supervisor yang bertanggungjawab memantau kualiti dan hasil kerja Audio Department. Kalau nak tahu, dialah pelakon suara buat Jarjit, Uncle Muthu dan juga Uncle Singh dalam filem Geng: Pengembaraan Bermula.
Mohamad Zaki
Bertugas sebagai Ketua Audio, dengan tugas utamanya merakam suara dan membuat persiapan terakhir bagi semua elemen-elemen audio. Minatnya yang mendalam dalam audio mendorongnya untuk menceburi bidang ini. Kalau nak mintak autograf Tiah (atau Jarjit), bolehlah minta dengan En. Zaki, sebab dia yang selalu rakam suara Upin dan Ipin.
Mohd Muiz
Bertugas sebagai Audio Designer yang mereka kesan bunyi / sound effects dan juga membuat rakaman "mock-up". Mari mendengar kata-kata dari Muiz sendiri:
"Design sound effect bagi saya adalah satu kerja yang sangat menyeronokkan kerana setiap bunyi yang dihasilkan adalah berdasarkan kreativiti tersendiri. Jadi, saya boleh buat apa saja yang saya suka selagi bunyi yang dihasilkan bersesuaian dan sedap didengar. Kesimpulannya, saya gembira di Audio Department! Yeah!!"
Rufaidah (Ice)
Bertugas sebagai Audio Designer yang membantu Muiz membuat kesan bunyi. Ice merupakan ahli Audiopeople yang paling baru. Semangatnya sangat tinggi dan ini membuatkan kerja-kerja kesan bunyi bertambah laju dan laju!
Faren
Bertugas sebagai Komposer Muzik yang mencipta skor muzik untuk Upin & Ipin. Dia juga terlibat dengan skor muzik untuk filem Geng: Pengembaraan Bermula bersama dengan Yuri Wong dari The Factory Music Studio. Skor muzik filem Geng merupakan salah satu calon Skor Muzik Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 22. Yuri Wong juga merupakan pencipta lagu tema Upin & Ipin. Untuk mengenali lebih tentang Faren dan proses pembuatan muzik, layari interview video di Bluehyppo.com dan profailnya di laman web LUCT.
Nak tengok macamana kami buat kerja? Apabila kami menerima skrip, rakaman "mock-up" akan dibuat bagi membolehkan para animator membuat animasi. Apabila animasi sudah siap, proses seterusnya ialah menambahkan kesan bunyi dan juga muzik. Pada masa yang sama, rakaman suara akan dibuat dengan menggunakan pelakon suara yang sebenar.




Haa, best tak? Berminat nak bekerja sebagai Audiopeople? Kalau anda minat, jangan malu-malu, sila hantar resume dan portfolio anda ke jobs@lescopaque.com
