Thursday, January 27, 2011

LC Animation Training Center


Salam sejahtera semua...

Selain daripada menghasilkan siri animasi Upin & Ipin, Les' Copaque Production juga mempunyai anak syarikat di dalam Les' Copaque groups yang diberi nama LC Animation Training Center (LCT). Mesti ramai yang dah tahu kan?

Sebelum ini, LCT bergiat secara kerjasama dengan pihak MDeC melalui program yang diberi nama Job Camp di mana pihak kami menyediakan perkhidmatan kursus kepada para peserta yang berdaftar dengan MDeC.

Baru- baru ini LCT telah bergiat secara bersendirian dan menawarkan kursus yang sama iaitu 3D Modeling dan juga kursus Animasi. Bezanya, kali ini permohonan terbuka kepada pihak universiti atau mana- mana organisasi yang ingin menghantar pelajar atau pekerja untuk mempelajari tentang teknik- teknik 3D Modeling & Animasi.

Pihak kami menyediakan semua kemudahan belajar semasa kursus di jalankan. Bilik kursus yang lengkap dengan pelbagai alatan komputer bagi menyenangkan proses pembelajaran. Tenaga pengajar kami adalah terdiri daripada pekerja kami sendiri yang mempunyai pengalaman dalam pembikinan filem Geng: Pengembaraan Bermula dan juga siri Upin & Ipin.


Kemudahan yang lengkap di bilik
training



Antara peserta yang mengikuti kursus
3D Modeling


Semasa sesi pembentangan atau presentation


Selain memberi peluang pekerjaan kepada para peserta, kami juga berusaha memberi pendedahan kepada peserta untuk membuat presentation di hadapan semua pekerja Les' Copaque Production agar dapat membina keyakinan diri untuk bercakap di hadapan orang ramai.



Selesai sahaja kursus yang mengambil masa selama 3 minggu ini, pihak kami akan memberikan sijil penyertaan kepada para peserta. Best kan?

Untuk maklumat lanjut tentang kursus yang ditawarkan dan harga yang dikenakan, anda boleh menghubungi Cik Nurul di talian 03-5511 8089 atau hantarkan email kepada: training@lescopaque.com.

*Anda mungkin berpeluang menjadi salah seorang ahli team kami!





Wednesday, January 26, 2011

LCP Art Pool.

Sempena tahun baru 2011, kami di Les'Copaque sentiasa ingin membuat sesuatu yang seronok dan positif demi memajukan diri dan juga hubungan sesama kita. Dengan itu kami mempunyaiLCP Art Pool, tempat dimana lukisan-lukisan kami dikumpul berdasarkan tema-tema yang ditetapkan. Banyak tema yang sudah kami buat sebelum ini seperti Kak Ros, Chun Lidari Street Fighter, dan Self ID. Banyak lagi lukisan-lukisan yang boleh dilihat di muka DeviantArt kami.

Tapi kali ini, tema pertama buat tahun 2011 adalah Upin. Mari kita lihat lukisan-lukisan yang dibuat.

Upin Baca Bukumu. Oleh Usamah Zaid.

Small Totoro dipayung Upin. Oleh Yuki.

Upin yang comel. Oleh Ros.

Upin yang jujur. Oleh Raidah Aqilah.

Jangan lupa bukak site DeviantArt kami. Ada banyak lagi!

Ha! Macam mana? Ok tak lukisan kami? Kami juga ada jumpa beberapa lukisan oleh peminat-peminat kami. Nak tengok?

Friday, January 14, 2011

Lawatan dari Kolej PTPL Sentral

Hai semua...

Rasanya dah lama kami tak update mengenai lawatan kan? Pada tahun baru ini, lawatan pertama yang kami terima adalah dari para pelajar Kolej PTPL Sentral. Semua mereka yang terdiri dari 34 orang adalah merupakan pelajar jurusan Graphic Design.

Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi sedikit pendedahan kepada para pelajar tentang proses sesuatu animasi dijalankan, disamping mereka juga berpeluang meninjau-ninjau peluang pekerjaan di sini. Ada yang berminat nampaknya.


Cik Nurul & En Ainur sedang memberi
penerangan tentang latarbelakang
syarikat


Masuk ke dalam bilik audio / rakaman.
Ada yang berminat jadi pelakon suara ke?


Di department Rendering. En Razuri sedang
khusyuk memberi penerangan.


Semasa lawatan, kami di Les ' Copaque akan memberikan penerangan di setiap department mengenai proses untuk menyiapkan sesebuah animasi. Di harap, dengan penerangan dan lawatan ini, pihak kami dapat membantu pelajar-pelajar untuk lebih bersemangat nanti.

Untuk tempahan tarikh lawatan, anda boleh hubungi Cik Nurul di talian 03-5511 8089. Lawatan hanya terbuka untuk pelajar menengah atasan atau penuntut universiti sahaja.


Thursday, January 13, 2011

Upin & Ipin "The Most Successful Animation" di Malaysia Book of Records

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua peminat yang sentiasa setia menyokong Upin & Ipin selama ini. Baru-baru ini di dalam satu majlis yang gilang gemilang, Upin & Ipin telah dinobatkan sebagai selaku penerima anugerah "The Most Successful Animation" di dalam Malaysia Book of Records. Satu perasan teruja dan gembira yang tidak dapat gambarkan dengan kata-kata. Setelah hampir 5 tahun siri Upin & Ipin ditayangkan, di kaca TV akhirnya siri animasi ini sudahpun berjaya mencuri hati berjuta-juta peminatnya.

Upin & Ipin ketika menanti giliran
Bangga dapat bergambar bersama
Dato Jins Shamsuddin

Malam anugerah yang dilangsungkan di Sunway Resort ini turut dimeriahkan dengan pemenang bagi kategori lain termasuklah beberapa jemputan khas yang lain. Ini tidak ketinggalan Dato Jins Shamsuddin turut meminati siri Upin & Ipin. Beliau terus meminta gambarnya diambil bersama maskot comel ini sebaik sahaja kelibat kembar ini kelihatan diruangan menunggu. Malam yang meriah ini turut menyaksikan tokoh-tokoh di dalam bidang sukan seperti Shalin Zulkifli, angkasawan negara Dato Sheikh Muzaffar dan ramai lagi. Pastinya malam anugerah Malaysia Book of Records ini telah menjadi satu platform penjumpaan semua tokoh-tokoh agung yang telah mengharumkan nama negara di dalam bidang masing-masing.

Beberapa warga kerja Les' Copaque juga tidak
melepaskan peluang memeriahkan majlis

Tun Abdullah Badawi merasmikan malam anugerah
Malaysia Book of Records
Persembahan mantap Shahmi dan Asyiela
bersama maskot Upin & Ipin

Kemeriahan malam tersebut turut menyaksikan pelakon suara Upin & Ipin iaitu Asyiela Putri bersama Syahmi bekas pelakon suara bagi watak Ehsan bergabung dan mempersembahkan lagu Sahabat Selamanya. Maskot Upin & Ipin yang juga turut menari bersama-sama amat mencuit hati dengan gelagat mereka yang lucu dan lincah. Rata-rata tetamu yang hadir pada malam tersebut memberikan tepukan gemuruh terhadap persembahan mereka kerana ramai yang tidak pernah melihat persembahan secara "live" oleh bakat dari Upin & Ipin.


Petah Syahmi dan Asyiela
berinteraksi bersama tetamu
Nampak comel menari lagu
Sahabat Selamanya bersama Upin & Ipin

Upin & Ipin menerima anugerah
The Most Successful Animation

Tn Hj Burhanuddin bersama Hjh Ainon
ataupun Opah bersama sijil dan piala
Malaysia Book of Records

Diakhir acara, setiap pemenang pun diberi sijil serta trophy masing-masing. Tn Hj Burhanuddin ataupun Atok Ranggi sambil diiringi oleh maskot Upin & Ipin naik ke pentas bagi menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh pengasas Malaysia Book of Records sendiri. Satu permulaan yang baik bagi Les' Copaque Production untuk tahun ini kerana pada malam yang sama juga, Les' Copaque telah menerima anugerah dari BrandLaureate yang juga merupakan satu anugerah berprestij di dalam mengiktiraf kejayaan syarikat di dalam bidang perniagaan. Akhir kata terima kasih sekali lagi dengan sokongan peminat Upin & Ipin semua. Nantikan episod terbaru yang akan ditayangkan di TV9 selama 30 minit sempena tahun 2011.


Wednesday, January 12, 2011

Pemenang Peraduan Oopet terbang ke Disneyland Hong Kong

Seronoknya kalau dapat pergi melawat ke Disneyland Hong Kong bersama keluarga. Macam-macam permainan serta tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di sana. Bertuahlah pemenang-pemenang peraduan Mengira Oopet kerana hadiahnya berupa percutian ke Disneyland Hong Kong. Kalau ada yang masih ingat, dulu Les' Copaque pernah menganjurkan Peraduan Mengira Oopet yang dianjurkan bersama dengan setiap pembelian asli DVD Geng Pengembaraan Bermula.

Oopet pun nak ikut sekali ke
Beratur dikaunter untuk check in

Setelah berurusan dan berbincang bersama pemenang-pemenang, akhirnya tarikh yang dipilih sudahpun sampai. Yela, bukan mudah nak uruskan percutian ke luar negara macam ni. Ada yang kena minta cuti dan sebagainya. Oleh kerana jangka masa yang agak lama, ada juga pemenang yang sudah terlupa apakah slogan yang pernah diisi yang membolehkan mereka memenangi tiket ke sana. Semasa sesi perlepasan mereka di KLIA tempoh hari, barulah borang penyertaan mereka diserahkan sebagai kenang-kenangan. Masing-masing sudah tak sabar mahu ke sana.


Gembira terpilih sebagai pemenang

Tak sangka boleh bawa keluarga ke Disneyland

Bersedia berangkat ke Disneyland
Peluang bersama keluarga ke Disneyland

Di bawah merupakan beberapa gambar mereka yang dikirim setelah selesai percutian di Disneyland. Macam-macam aktiviti yang dilakukan mereka di sana dan yang penting sekali mereka semuanya sangat bergembira. Upin & Ipin yang juga ditayangkan melalui Disney Channel sebenarnya agak terkenal di sini. Siri ini yang ditayangkan di dalam bahasa Mandarin dan English mudah diterima oleh penduduk di sini. Di lobi hotelnya saja, sering kali memainkan siri Upin & Ipin yang telah menjadi salah satu siri animasi yang terkenal di Disney Channel.

Baru sampai di Hong Kong

Di pintu masuk Disneyland Hong Kong

Terima kasih dan tahniah sekali lagi kepada pemenang-pemenang peraduan Oopet ini kerana mereka merupakan diantara lebih 5,000 peserta yang menyertai peraduan ini sejak dianjurkan tahun lalu. Semoga semua peminat Upin & Ipin akan terus memberi sokongan terhadap sebarang peraduan yang bakal dianjurkan nanti.


Friday, January 07, 2011

Karnival Upin & Ipin di Shah Alam Convention Centre (Bah. 2)

Wah, nampaknya suasana menarik dan kenangan manis di Karnival Upin & Ipin masih lagi terbuku di dalam ingat warga kerja Les' Copaque. Ini ialah kerana setiap hari pasti ada acara yang menarik dilakukan dan sambutan serta sokongan dari pengunjung tidak pernah pudar. Kepada yang hadir tempoh hari pasti ingat lagi aktiviti waktu pagi di Karnival Upin & Ipin. Aktivitinya ialah tidak lain tidak bukan ialah bersenam dan menari chicken dance bersama Upin & Ipin. Bayangkan setiap pagi, Upin & Ipin akan muncul untuk menari bersama dengan pengunjung lagu chicken dance serta lagu-lagu lain yang seterusnya diikuti oleh semua pengunjung terutama sekali adik-adik kecil. Bukan itu sahaja, pempamer -pempamer juga turut menyertai tarian setiap kali sesi ini dianjurkan.

Upin bersedia membuat persembahan

Adik Aimi merupakan salah
seorang peminat setia Upin & Ipin
Permainan Saidina gergasi Upin & Ipin menjadi
salah satu tarikan pengunjung


Sesi bergambar bersama dengan Upin & Ipin

Pempamer yang turut memeriahkan Karnival Upin & Ipin ini ialah diantaranya TM, Wyeth, Syarikat Permainan Malaysia, TV9, CCM, ProDiet, NYLA dan banyak lagi. Bercakap pasal Syarikat Permainan Malaysia ataupun SPM, mereka menyediakan tapak Saidina Gergasi Upin & Ipin yang boleh dimain secara percuma dengan setiap pembelian Saidina Upin & Ipin. Ha, taktau dah ada Saidina Upin & Ipin? Ok, Saidina ini dah mula boleh dibeli di kedai-kedai yang ada menjual permainan-permaian keluaran SPM. Selain itu, penyegar udara kereta Upin & Ipin juga merupakan antara produk terbaru yang turut dijual di Karnival Upin & Ipin ini.

Seorang peminat kecil yang memakai jersey Upin
Antara persembahan maskot Upin & Ipin
bersama rakan-rakan yang mendapat

sambutan pengunjung


Setiap pengunjung yang hadir, akan dihiburkan tidak kira bila masa mereka menjejakkan kaki ke tapak karnival. Ini adalah kerana acara di pentas utama tidak pernah putus-putus dengan pelbagai persembahan oleh artis jemputan, permainan serta kuiz. Artis yang turut memeriahkan karnival ini ialah Idola Kecil 3, Irma Hasmie, pengacara TV9, Ceplos, peserta Pilih Kasih dan ramai lagi. Namun begitu, penampilan khas semua pelakon suara siri Upin & Ipin pasti ditunggu oleh semua peminat.

Tak melepaskan peluang bermesra bersama Ipin

Mail bergambar bersama sebahagian
dari pempamer


Antara orang kuat disebalik Karnival Upin & Ipin

Diantara kakitangan Les' Copaque
yang telah menjayakan karnival


Sekali lagi, terima kasih kepada pengunjung serta pempamer yang telah memberi sokongan yang sangat jitu. Kami keluarga Les' Copaque Production memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan dan kekurangan. InsyaAllah kita akan berjumpa di Selatan untuk Karnival Upin & Ipin yang seterusnya. Nantikan!