Tuesday, March 30, 2010

Warna-warni LCP

Dalam entri kali ini, penulis ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang keseronokan bekerja di produksi animasi ini. Bayangkan apabila manusia-manusia kreatif dan berbakat berhimpun dalam satu bumbung, pelbagai ragam yang jelik tetapi unik dapat dilihat. Meski kami semua punya karektor tersendiri, tapi kami masih boleh bersatu dan bekerja dengan penuh harmoni.

Kami sayang bumi, jadi semua pakai baju warna hijau

Warga LCP sememangnya sentiasa ceria dan bersemangat apabila melaksanakan sesuatu. Setiap minggu, ada sahaja aktiviti yang diadakan untuk menaikkan lagi semangat kerja. Selain dari aktiviti bersukan dan kelas mingguan, kami juga punya hari pakaian bertema.

Warna ungu... Tengok kotak Mac LED cinema display di belakang...

Aktiviti:
Theme Cloth Day

Objektif :
I. Untuk mewujudkan semangat bersatu padu di kalangan warga LCP
II. Membolehkan pekerja bergaya secara beramai-ramai
III. Secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan antara staf dan menaikkan lagi semangat kerja

Status:
Tidak diwajibkan, namun amat digalakkan.

Syarat-syarat Penyertaan:
I. Tema berpakaian ini akan ditetapkan beberapa hari sebelum sesi bergambar bagi memberi peluang kepada mereka yang ingin turut serta mencari pakaian yang sesuai.
II. Tiada pemenang untuk pakaian tercantik, sekadar untuk suka-suka.
III. Anda hendaklah bergembira di hadapan kamera ketika sesi bergambar.

Tema biru...

Kami jarang sekali berpakaian formal pada hari-hari biasa. Tapi ini bukanlah bermakna kami tidak mematuhi etika berpakaian di pejabat. Pernah sekali tema pakaian formal diketengahkan, dan kami diminta untuk berpakaian formal untuk satu hari. Maka muncullah aura korporat yang menaikan peratusan kecantikan dan kekacakan dengan mendadak.

Tema skema. Warga LCP yang segak bergaya, namun attitude 'sengal' tidak dapat dihindarkan sama sekali.

Pernah sekali tema spontan diutarakan secara tiba-tiba seperti headwear (perhiasan kepala). Tema spontan ini memerlukan daya kreativiti kami untuk menggayakan sesuatu. Contohnya Shafiq dengan spontannya menggunakan beg kertas sebagai headwear berasa bangga apabila menggayakannya.

Lihatlah, selain dari topi, ada yang mengenakan bingkai cermin, beg kertas, sarung laptop, cekak rambut dan bermacam-macam lagi.

Memang seronok menjadi salah seorang staf di LCP. Andai anda berminat untuk menjadi sebahagian daripada keluarga LCP, hantarlah permohonan kerja anda ke jobs@lescopaque.com

Wednesday, March 17, 2010

Pemenang Peraduan Mengira Oopet

Tahniah! kepada semua pemenang Peraduan Mengira Oopet yang telah pun diumumkan semasa Majlis Sahabat Niaga Upin & Ipin tempoh hari. Peraduan Mengira Oopet yang secara rasminya telah ditutup tarikh penyertaannya pada Disember tahun lalu mengumpulkan lebih 5000 penyertaan dari seluruh negara. Jumlah itu menyebabkan pihak kami terpaksa mengambil masa yang lebih lama dari yang dijangkakan untuk memilih pemenang.

Pemenang Hadiah Utama hinggalah tempat ke 3

Pemenang-pemenang lain

Pemenang hadiah utama iaitu adik Nur Saidah yang berasal dari Selangor telah memenangi Percutian ke Disneyland Hong Kong bersama 3 orang yang lain beserta wang saku sebanyak RM1000. Manakala hadiah pertama berupa pakej percutian yang sama beserta wang saku sebanyak RM500 dimenangi pula oleh Siti Nur Zakirah. 2 Set TV Plasma 40" pula berjaya dibawa pulang oleh Natasha Usman dan Farah Abdullah. Tahniah diucapkan sekali lagi. Pemenang-pemenang lain pula, kami akan hubungi dan poskan hadiahnya dalam tempoh terdekat ini. Kepada yang tidak disenaraikan, jangan kecewa kerana kami masih akan mengadakan peraduan pada masa yang akan datang. Terakhir sekali, kami mengucapkan ribuan terima kepada semua yang telah memberi DVD asli Geng : Pengembaraan Bermula.



Pelakon Suara Musim Baru Upin & Ipin

Wah, mesti ramai yang sudah menonton episod baru Upin & Ipin iaitu Juara Kampung yang sudah pun ditayangkan di TV9 tempoh hari. Bagi yang tak berkesempatan menonton, jangan risau kerana anda masih boleh menonton episod ini melalui laman web Upin & Ipin ataupun Bluehyppo. Banyak respon yang sangat baik kami terima. Tak kurang juga yang tertanya-tanya perubahan pelakon suara bagi watak Upin & Ipin. Pada kali ini, kami akan memperkenalkan barisan pelakon suara untuk siri Upin & Ipin yang baru ini.

Antara barisan pelakon suara
utama siri Upin & Ipin musim 4

Memperkenalkan pelakon suara bagi watak Upin & Ipin yang baru iaitu adik Asyiela Putri atau nama manjanya Syiela. Adik Syiela yang juga meminati siri Upin & Ipin sejak diperkenalkan lagi tidak menyangka sekarang dia pula menjadi watak utama bagi siri ini. Syiela yang sudah pun merakamkan beberapa episod baru Upin & Ipin juga sedang bergiat aktif di dalam percubaan mengalih bahasa siri ini kepada versi English. Sekiranya peminat semua ingin mengenali dengan lebih lanjut mengenai Syiela, jangan lupa mengikuti perkembangannya di blog ini ataupun melalui Majalah Komik Upin & Ipin nanti. Perubahan pelakon suara ini sebenarnya ialah untuk memberi ruang kepada bakat-bakat baru di dalam siri Upin & Ipin. Pihak LCP sememangnya sentiasa mencungkil bakat baru dan memberi ruang kepada bakat baru untuk berkembang. Pada masa yang sama juga, pelakon suara asal Upin & Ipin pula sedang memberi tumpuan kepada pelajaran dan dia akan menduduki peperiksaan pada tahun hadapan nanti. Sekiranya dilihat dari segi positif, perubahan ini akan mewujudkan pelapis baru yang sekaligus menjadikan proses produksi siri ini lebih produktif dengan penghasilan episod yang lebih banyak dan pembikinan filem baru.

Asyiela sebagai Upin & Ipin

Seterusnya ialah pelakon suara watak Ijat dan Dzul. Sebenarnya kedua-dua pelakon suara ini dah mula berlakon di dalam siri Upin & Ipin sejak musim lepas lagi, tetapi tidak pernah diumumkan di mana-mana media. Mereka berdua ini juga sebenarnya berkawan rapat dengan pelakon suara bagi watak Mail iaitu Asrol. Walaupun kedua-dua watak ini pada mulanya sekadar watak sampingan, namun semakin lama kedua-dua watak ini semakin mendapat sambutan. Artikel penuh mengenai mereka berdua ini akan dipaparkan di dalam Majalah Komik Upin & Ipin nanti.

Amirul sebagai Dzul
Izzat sebagai Ijat

Watak Mei Mei juga tidak kurang terdapat ramai peminat tidak kira di Malaysia ataupun di Indonesia. Pelakon suara watak yang baru Mei Mei iaitu Tang Ying Sowk juga sebenarnya salah seorang krew di LCP. Selesa dengan nama manjanya iaitu Yuki, dia merupakan salah seorang senior di LCP. Bersuara halus dan comel, dia sememangnya amat sesuai memegang watak Mei Mei.

Tang Ying Sowk sebagai Mei Mei


Saturday, March 13, 2010

Upin & Ipin Musim 4 Video Promo



Jangan ketinggalan menonton Upin & Ipin Musim ke 4 ini bermula pada 15 Mac 2010, 5.30pm hanya di TV9.


Thursday, March 11, 2010

Malam Sahabat Niaga Upin & Ipin 2009/2010

Pada 27 Februari 2010 yang lalu bertempat di Carlton Hotel, Shah Alam telah berlangsungnya Malam Sahabat Niaga Upin & Ipin yang dianjurkan oleh Les' Copaque Production bersama anak syarikatnya, LC Merchandising Sdn Bhd. Majlis yang pertama kali ini diadakan bertujuan untuk meraikan semua sahabat niaga barangan tulen Upin & Ipin yang menjual produk ini sejak penubuhan LC Merchandising Sdn Bhd, 2 tahun yang lalu. Selain bersuai kenal dengan kesemua sahabat niaga, majlis ini juga bertujuan untuk memberikan pendedahan dan membincangkan perancangan serta hala tuju syarikat pada masa akan datang. Turut diadakan adalah seminar pada sebelah pagi yang dihadiri oleh wakil sahabat niaga dari seluruh Malaysia.

Bersama Sahabat Niaga Upin & Ipin
Suasana ketika seminar
Puan Afiza memberi ucapan aluan

Malam Sahabat Niaga Upin & Ipin telah dirasmikan oleh Cik Noraini Hashim, Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU), wakil rasmi Y.B Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Turut dilancarkan pada malam tersebut adalah DVD Upin & Ipin Edisi Khas bagi kanak-kanak cacat pendengaran yang turut disampaikan kepada para pelajar cacat pendengaran dari Sekolah Menengah Dato' Ibrahim Yaacob sebagai tanda prihatin.

Kaunter pendaftaran sebelum bermula majlis

Suasana di dalam dewan majlis


Tuan Haji Burhanuddin Md Radzi, Pengarah Urusan Les' Copaque Production pula memberitahu penerimaan Upin & Ipin sekarang ini sangat memberansangkan sehingga ke Republik Indonesia, India dan Russia. Pelbagai rancangan terbaru untuk mempromosikan Upin & Ipin secara global termasuklah menganjurkan Upin & Ipin On Ice dan Taman Tema Upin & Ipin sebagai projek jangka panjang. Selain itu, pada tahun ini Les' Copaque telah merangka untuk menerbitkan permainan komputer Upin & Ipin, hasil kerjasama pihak syarikat dengan Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU). Beliau juga turut mengumumkan mengenai penerbitan filem biografi pertama mengenai primadona Zaiton Sameon oleh syarikat penerbitan filem terbaru beliau, Bruang Filem Sdn Bhd. Filem ini akan diarahkan oleh Fauziah Nawi dan dijangka akan memulakan penggambaran pada tahun ini.

Antara krew Les' Copaque yang turut hadir


Wakil MDeC merupakan antara tetamu yang hadir

Tn Haji Burhanuddin memberi ucapan pembukaan majlis

Pemenang Pertandingan Mengira Oopet


Selain itu, kemuncak malam tersebut diserikan dengan majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang Pertandingan Mengira Oopet yang telah dianjurkan serentak dengan penjualan DVD filem GENG : Pengembaraan Bermula tahun lalu. Pertandingan yang menawarkan hadiah utama berupa percutian ke Disneyland Hong Kong serta hadiah-hadiah lain termasuk televisyen LCD dan Sony Playstation 3 telah menerima lebih 5 ribu penyertaan dari seluruh negara. Pemenang utama yang bertuah adalah Cik Nur Saidah Bt Aziz yang berasal dari Rawang dan Cik Siti Nur Zakirah yang berasal dari Bukit Sentosa.


Persembahan dari Haris and the Pembaris

Segak dan ayu betul krew LCP bergaya

Krew yang telah bersungguh-sungguh menjayakan majlis ini

Anugerah juga turut disampaikan kepada beberapa sahabat niaga yang mencatatkan penjualan barangan tulen Upin & Ipin yang amat memberangsangkan. LC Merchandising juga turut mengorak langkah dengan melancarkan Kad Kelab Peminat Upin & Ipin yang akan digunakan oleh semua ahli kelab peminat Upin & Ipin. Ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan semua ahli kelab peminat Upin & Ipin dari seluruh tanah air selaras dengan permintaan yang sangat tinggi terhadap kelab peminat. LC Merchandising merancang akan membuat Malam Sahabat Niaga ini sebagai acara tahunan untuk mengembangkan aktiviti pemasaran barangan tulen Upin & Ipin.



Upin & Ipin Episod Baru

Wah, tak sabar rasanya nak menonton episod terbaru siri animasi Upin & Ipin. Tahu tak sekarang ni siri Upin & Ipin dah masuk musim ke 4. Memang cepat masa berlalu. Di dalam musim ke 4 ini, siri Upin & Ipin sudah berwajah baru dan lebih menarik. Kalau nak tahu apa yang baru tu, kenalah tonton episod pertama musim ke 4 ini sudah tentunya di TV9.


Episod pertama musim baru ini bertajuk Juara Kampung. Dengar kata Upin & Ipin bersemangat bermain badminton bersama kawan-kawannya. Macam-macam aktiviti yang menarik dilakukan bersama-sama. Benarkah Upin & Ipin handal bermain badminton? Bagaimana agaknya reaksi Kak Ros serta Opah dengan hobi baru Upin & Ipin ini?. Kalau nak tahu jawapannya anda semua harus menonton episod ini di kaca TV nanti. Jangan lupa, bermula 15 Mac 2010 ini setiap hari 5.30 petang hanya di TV9.

Screenshots episod Juara Kampung


Jadual Tayangan Episod Juara Kampung

Wednesday, March 10, 2010

Majalah Komik Upin & Ipin Isu 3

Nampaknya Majalah Komik Upin & Ipin semakin mendapat sambutan. Hampir disetiap kedai buku yang menjual majalah ini dikatakan laris macam goreng pisang panas. Terima kasih kepada semua peminat yang menyokong dan membeli majalah ini sejak isu 1 lagi. Kali ini isu ke 3 yang sudahpun berada dipasaran tidak akan menghampakan semua peminat. Isu kali ini menampilkan cerita mengenai pelakon suara bagi watak Ehsan pula. Kalau nak tahu apa cerita disebalik Ehsan ni, kenalah beli majalah isu ke 3 ini.

Majalah Komik Upin & Ipin isu ke 3 yang
telah berada dipasaran

Profil watak Ehsan ditampilkan di isu ke 3 ini.

Selain itu, berita mengenai kemeriahan ketika Upin & Ipin di Perpustakaan Awam Terengganu tempoh hari juga dimuatkan di dalam isu ini. Ha, apa lagi jangan tunggu dan dapatkanlah isu ini dipasaran sekarang juga.