Tuesday, October 27, 2009

Les' Copaque Saran Penggiat Animasi Kaji Pasaran

Keratan akhbar di atas diambil dari akhbar Sinar Harian bertarikh 26hb Oktober 2009. Keratan akhbar ini adalah berkaitan tentang Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Tn Hj Burhanuddin Md Radzi yang ingin berkongsi sedikit informasi mengenai hasil karya animasi yang boleh menarik minat kanak-kanak dengan menjalankan kajian pasaran terhadap produk itu sendiri, bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti. Terima kasih kepada saudara Sofyan dengan tersiarnya artikel ini.


Thursday, October 22, 2009

Atok Bercerita 6: Dua Singgit

He..he..hari ni Atok nak cerita kat mana nak jual karya. Dah penat-penat buat mestilah nak jual. Nanti bolih jadi kaya...he..he.

11. Menjual Karya

Setiap syarikat yang menceburi bidang ini sudah tentulah mahu menjual karya mereka bagi mendapatkan pulangan pelaburan mereka. Sama seperti pelukis, nilai sesuatu karya itu bergantung kepada populariti karya mereka. Untuk industri ini, untuk menjadikan ia popular ia memerlukan wadah untuk di pertontonkan dahulu sebelum dapat menarik minat penonton bagi menaikkan nilai karya mereka. Maka terjadilah situasi, telor dan ayam, yang mana lebih dahulu terjadi. Ada beberapa cara yang bolih diguna pakai untuk memasarkan hasil karya mereka. Ini akan Atok ceritakan dalam kisah yang akan datang.

Di Malaysia, RTM merupakan pasaran utama untuk kita menjual hasil karya. Harga maksimum yang ditawarkan adalah RM45,000 untuk sebuah rancangan setengah jam. Walaubagaimanapun, harga tersebut tergantung kepada mutu sesebuah karya itu. Untuk menawarkan karya ke RTM, syarikat tersebut haruslah melalui proses pendaftaran pembekal. Setelah memohon untuk mendaftar, syarikat tersebut akan dilawati oleh pegawai RTM untuk menentukan kemampuan mereka. Syarikat itu akan dinilaikan dan diberi kategori sebagai pembekal A, B atu C. Untuk maksud kategori tersebut, sila rujuk laman web RTM.

Setelah lulus pendaftaran, mereka akan dipelawa untuk sessi “pitching” yang jarang-jarang diadakan. Tetapi bila diadakan, sudah tentu banyak syarikat yang hadhir untuk memasarkankan projek mereka. Bagi mereka yang melalui proses ini, biasanya produk mereka belum dibuat lagi. Hanya synopsis, contoh karekter dan sedikit ‘trailer” di peragakan untuk menarik minat penilai projek. Jika sekiranya berjaya, rundingan akan dibuat tentang harga, jadual penyiapan karya dan jadual pembayaran. Pembelian seperti ini dinamakan “commission work” dan semua kerja termasuk skrip akan dipantau oleh RTM. Suatu perkara yang masih belum mendapat penyelesaian ialah soal hak cipta karya yang dihasilkan dengan cara ini. RTM memegang hak cipta karya tersebut dan tidak membenarkan ia dipasarkan di pasaran lain kecuali RTM.

Cara yang lain untuk menjual keRTM adalah karya yang telah siap. Risikonya ialah harga yang ditawarkan adalah terlalu murah kerana ia dikategorikan sebagai “syndicated program”. Ini ditambah lagi dengan kesulitan menembusi pegawai yang sebenarnya membuat keputusan tentang pembelian tersebut.

Untuk stesyen tv swasta, penawaran harga banyak tergantung kepada kemampuan karya tersebut menarik minat pengiklan. Sesetengah stesyen tv menawarkan peluang untuk berkongsi hasil pengiklanan, tetapi awas, mereka suruh kita cari sendiri pengiklan. Jika mereka mau membeli program tersebut tanpa berkongsi hasil pengiklanan, harga yang ditawarkan sama seperti sebuah “syndicated program”. Satu perkara yang perlu diingat, isi perjanjian itu harus dibaca dan difahami dengan teliti sebelum menandatangani. Terma yang pelik-pelik tu biasanya kena pakai kanta pembesar. Jangan sampai terjebak.

Untuk kami, sememangnya kami bernasib baik. Sewaktu kami memamirkan episode yang pertama U & I dahulu, ia terus menawan hati mereka. Kami sendiri menetapkan harga dan dipersetujui. Selebihnya adalah sejarah dan kami telah mempelopori cara sesuatu produk itu dipasarkan. Olih itu, kepada penggiat, hasilkanlah produk yang betul-betul bermutu sehingga kita dapat menentukan harga yang kita kehendaki.

He..he..pada yang tak suka dengar cerita Atok ni, tak payahlah nak masuk kat blog ni dan susah-susah dengar cerita Atok ni. Lepas tu komen pula macam orang tak berilmu. Tapi Atok bangga kepada mereka yang meminati cerita Atok untuk pedoman mereka. Itulah bezanya orang yang berusaha dan membaiki diri mereka. Pada yang lain tu, pergi buat kerja. Atok ni memang dah pencen...he..he.

Tayangan Geng bersama Autodesk di Cathay Cineplex

Walaupun filem Geng telahpun habis ditayangkan di pawagam, namun permintaan untuk tayangannya di pawagam untuk event tertentu masih lagi tinggi. Terbaru ialah kerjasama di antara Autodesk untuk menganjurkan tayangan amal sempena Hari Raya untuk kanak-kanak dari rumah anak yatim sekitar lembah klang. Bertempat di Cathay Cineplex Damansara, team Upin & Ipin telah bersedia seawal pukul 11 pagi untuk menyambut kanak-kanak riang ini untuk menonton filem Geng.

Adik-adik menerima saguhati dari
Les' Copaque dan Autodesk
Beratur menjamu selera sebelum tayangan
Seramai lebih kurang 70 orang kanak-kanak yang hadir dari 3 buah rumah yang berbeza. Mereka ini dihidangkan jamuan makan sebelum boleh menonton filem Geng. Disamping itu juga, mereka dihiburkan dengan pelbagai aktiviti kuiz dan permainan. Diantaranya ialah soalan-soalan mengenai siri Upin & Ipin serta menyanyikan lagu Upin & Ipin. Kebanyakkan dari adik-adik ini sungguh aktif dan bersemangat sekali menjawab soalan dan menyertai semua kuiz yang dianjurkan.
Suasana ketika kuiz dilangsungkan
Adik-adik begitu aktif menyertai kuiz
Cik Shima petah memberi kuiz-kuiz
kepada adik-adik kecil ini
Akhir sekali ialah penampilan maskot Upin & Ipin yang menyebabkan hampir kesemua adik-adik ini melompat keriangan. Maskot yang pertama kali dilihat oleh mereka dari jarak dekat ini memberikan peluang untuk mereka beramah mesra dan bergambar. Melihatkan gelagat adik-adik ini yang kebanyakkannya sangat comel dan aktif ini membuat kita bersyukur dengan apa yang kita ada selama ini. Maskot bukan sahaja dapat bergambar tetapi kadang-kala mendukung adik-adik ini tanda sayang.

Bergambar bersama maskot Upin & Ipin
Antara staff LCP dan Autodesk serta Text100 yang
sama-sama menganjurkan tayangan ini.
Terima kasih kepada Autodesk serta Text100 yang merupakan syarikat yang membantu Autodesk dalam menganjurkan tayangan ini. Terima kasih juga kepada agensi-agensi lain termasuklah pihak media turut membantu secara tidak langsung.

Kemeriahan Majlis Aidilfitri Upin & Ipin

Seronoknya ye sekali sekala dengar cerita dari Atuk. Bukan selalu Atuk nak bercerita panjang macam ni. Tapi sebelum tu, apa kata kita berkongsi sedikit sebanyak mengenai event yang telah berlalu iaitu Majlis Aidilfitri Upin & Ipin. Majlis ni sebenarnya telahpun dilangsungkan pada 11 Oktober yang lalu bertempat di perkarangan studio Les' Copaque di Shah Alam. Walaupun hujan sekejap pada awal paginya namun tidak mematahkan semangat staff LCP serta peminat berkunjung ke Majlis Aidilfitri khas untuk peminat Upin & Ipin. Antara tetamu yang hadir sudah tentulah dari kelab peminat Upin & Ipin, rakan media serta penaja.

Hizral dan Ida Rahayu bersedia menerima kunjungan
Ehsan, Ida Rahayu, Yuki dan Aliya bertugas melayani tetamu
Sal bersama Nurul turut membantu di meja pendaftaran
Seawal pukul 10 pagi lagi, nampaknya peminat sudah mula memasuki luar legar studio Les' Copaque. Walaupun aturcara dilewatkan sedikit namun ianya nampaknya sedikit pun tidak membosankan peminat. Staff LCP kebanyakkan yang berbaju glamor raya sememangnya memeriahkan lagi aturcara. Tidak kurang juga peminat kecil yang sudah pandai berhias dengan baju raya masing-masing. Aturcara yang dikendalikan oleh Afiq, Ida Shaheera, Ida Rahayu serta Shahmi mengamatkan lagi suasana. Dengan gaya yang spontan serta diselitkan dengan kuiz dan permainan membuatkan oeminat kecil tak duduk diam.

Fazidah, Sal bersama Kak Su masing-masing
nampak anggun dengan baju raya

Shahmi, Afiq, Ida Shaheera dan Ida Rahayu memeriahkan lagi majlis
Penampilan Adik Fathiah antara
yang dinanti-nantikan

Atok serta Opah ketika memberi sepatah dua kata
Diantara permainan serta kuiz yang telah dijalankan ialah seperti musical chair, kuiz angpau, makan batang buruk tanpa menggunakan tangan dan macam-macam lagi. Penglibatan dari peminat Upin & Ipin juga amat memberansangkan sekali apabila setiap permainan yang dianjurkan pasti mendapat sambutan hangat. Rata-rata pengunjung terhibur walaupun keseluruhan majlis memakan masa sekitar 3 jam.

Antara tetamu yang hadir
Permainan makan batang buruk tanpa tangan
Selain itu, sudah tentulah makanan menjadi tumpuan utama. Disajikan khas dengan menu-menu unik lagi menarik sedikit sebanyak membuka selera para pengunjung. Menu seperti rendang, ketupat serta yang istimewa ialah cucur sayur special membuatkan masing-masing tidak cukup dengan hanya sepinggan. Sambil makan semua pengunjung dihiburkan dengan persembahan oleh pelakon-pelakon suara Upin & Ipin. Terakhir sekali sudah tentulah penampilan istimewa maskot Upin & Ipin yang dipersembahkan khas dengan baju raya masing-masing menjadi tumpuan ramai. Boleh dikatakan pertama kali muncul dalam baju raya, maskot Upin & Ipin masing-masing nampak bergaya dan segak.

Khemah makanan
Suasana ketika menjamu selera
Peminat kecil yang seronok berbaju melayu
Maskot Upin & Ipin dikerumuni media serta peminat
Maskot bergambar bersama peminat serta staff LCP
Pada majlis tersebut juga, kami dikejutkan dengan penampilan khas penyanyi dari My Star LG iaitu Wana. Wana yang tampil dengan baju ungu sempat menyumbangkan lagu raya kepada semua peminat. Majlis tersebut juga diakhiri dengan persembahan karaoke oleh beberapa staff LCP yang sudi menyumbangkan lagu raya. Akhir kata, terima kasih kepada semua warga kerja LCP serta semua peminat yang telah hadir dan memberi sokongan kepada majlis ini. Kami memohon maaf sekiranya berlaku sebarang kekurangan dan semestinya kami akan perbaiki dari semasa ke semasa.

Wana (MyStar LG) menyanyikan lagu raya
Kak Ros gembira dapat
menghiburkan semua peminat
Antara staff LCP bergambar kenang-kenangan
Terima kasih dan hantarkan cadangan atau idea kepada kami untuk memperbaiki event-event berkaitan Upin & Ipin pada masa akan datang. Hantarkan idea anda ke webmaster@lescopaque.com. Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin.

Atok Bercerita 5: Harta Intelek

He..he..banyak orang beranggapan bahawa Upin dan Ipin menjadi terkenal kerana ilham seorang yang begitu 'talented". Sebenarnya tidak, jika dibiarkan dulu mungkin Upin dan Ipin pun tidak terkenal kerana fokus mereka adalah untuk mempopularkan Lim dan Badrul yang menjadi teraju utama didalam filem "Geng". Tapi apakan daya, lembu punya susu, sapi dapat nama.

10. Harta Intelek

Didalam industri yang kejayaannya banyak bergantung kepada populariti terhadap sesuatu karya yang dihasilkan, pemahaman tentang betapa pentingnya harta intelek harus dipertahankan amatlah diperlukan. Ini amat perlu bagi sesebuah syarikat itu untuk menghadapi masaalah, bukan sahaja dengan sindiket citak rompak, tetapi dengan pengkarya itu sendiri. Syarikat bolih tumbang dengan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pelabur kerugian yang besar jika menghadapi masaalah tersebut.

Penghasilan animasi 3D dan siri komik adalah jauh berbeza, walaupun kedua-dua nya mempopularkan sesuatu karakter sehingga terkenal. Untuk siri komik, ia bolih dihasilkan olih seorang pengkarya sehingga terkenal, tetapi untuk siri animasi 3d, ia tidak mungkin dihasilkan olih hanya seorang pengkarya. Makanya, tiada seorang pun yang bolih mengaku yang ia telah berjaya melahirkan Upin dan Ipin, kerana penghasilannya melibatkan semua tenaga kerja yang telah bertungkus lumus menjayakannya.

Untuk siri Upin dan Ipin, setiap ahli pasukan menyumbang kepada kejayaannya. Dari mula karakter itu diilhamkan, penghasilan skrip, penyediaan lakonan suara, penghasilan animasi, sehinggalah siri tersebut siap melibatkan semua kakitangan yang mempunyai kemahiran dibidang masing-masing. Syarikat telah mengambil pendekatan untuk mengetengahkan hanya beberapa orang peneraju syarikat didalam promosi produknya bagi memudahkan peroses pemasaran dan penglibatan didalam urusan pengurusan. Ini dirangka dengan tujuan supaya mereka dapat mengambil alih pengurusan syarikat dalam waktu terdekat apabila Atok ingin mengundur diri.

Harta intelek harus didaftarkan , samaada didalam Negara atau diluar Negara. Didalam Negara, kita bolih menggunakan khidmat MyIPO. Prosesnya sungguh memeningkan dan melibatkan jumlah wang yang banyak. Banyak syarikat yang mempunyai modal yang terhad tidak mahu menangani proses ini kerana ia melibatkan khidmat peguam yang sekiranya tidak bernasib baik akan mendapat nasihat yang salah menyebabkan kerugian banyak wang. Proses pendaftaran sesungguhnya Nampak mudah, tetapi apabila tindakan hendak diambil terhadap pengusaha citak rompak, barulah diketahui sama ada apa yang didaftarkan itu mencukupi untuk mengambil tindakan undang-undang. Kadang-kadang perkara ini dapat menjejaskan kita dari menumpukan sepenuh perhatian kepada urusan utama syarikat kita, ia-itu berkarya. Olih itu Atok menyarankan kepada syarikat yang telah berjaya membangunkan produk dan mempunyai sedikit kelebihan modal untuk mendapatkan khidmat seorang peguam secara tetap untuk menangani perkara ini.

Banyak orang beranggapan, amat mudah untuk menyeret pihak yang menjual barangan citak rompak kemuka pengadilan. Tetapi, hakikatnya ia merupakan satu perkara yang amat rumit. Mahkamah memerlukan bukti yang sahih untuk menyabitkan satu-satu kesalahan itu, tetapi untuk harta intelek, undang-undang yang sedia ada terlalu banyak kelonggaran yang dapat memutar belitkan bukti yang ada sehingga mereka terlepas. Proses untuk membawa mereka kemuka pengadilan memerlukan belanja yang banyak dan untuk membawa mereka yang mendalangi perniagaan tersebut adalah terlalu sukar. Kita hanya berhadapan dengan pengusaha kecil yang menjual barangan citak rompak dipasar malam dan untuk mengambil tindakan sudah tentulah tidak berbaloi dengan kosnya.

He..he..Atok rasa cukup untuk kali ini.

Tuesday, October 20, 2009

Atok Bercerita 4: Kerenah Penggiat

He..he..Atok sambong lagi cerita Atok tentang selok belok industri ini supaya menjadi pedoman kepada mereka yang hendak berkecimpong dalam bisnis ni. Maklumlah, kalau kerja dengan orang tua nanti kena tipu dan hanya mengayakan nya aje...pada yang minat, ini kisah seterusnya..


8. Disiplin dan etika kerja kakitangan.

Rata-rata mereka yang terlibat didalam bidang ini adalah pengkarya sama seperti seorang pelukis. Olih kerana mereka telah biasa sewaktu di Universiti, membuat kerja mereka di waktu malam sehingga pagi dan bangun lewat, mereka sudah pasti meminta kerja secara “flexi hours”. Konon ilham hanya datang pada waktu malam. Jika diturutkan, ia boleh menghancurkan syarikat kerana apabila tiba waktu tengah malam, kebanyakan lebih banyak bermain game atau pun menonton wayang yang dimuat turun dari internet. Di Les’ Copaque, kami menganggap bidang ini sama seperti kerjaya yang lain, seperti jurutera dan akauntan. Mereka mestilah mempunyai waktu pejabat yang tetap dan seragam supaya hasil kerja dan prestasi mereka mudah di pantau. Perancangan syarikat pun mudah diatur.

Jika sekiranya kerja tidak dapat dihabiskan pada waktu pejabat, mereka harus berusaha untuk bekerja lebih waktu untuk menyiapkan tugasan mereka kerana didalam bidang ini dateline adalah ketat. Setiap proses pembuatannya saling bergantung antara satu sama lain, jika ada satu proses yang lambat, semuanya akan tertunda.

Salah satu penyakit yang begitu menular didalam industri ini ialah “free lancing”. Penyakit ini terjadi apabila pensyarah mereka mengambil projek luar untuk mencari rezeki yang lebih. Kerja-kerja itu akan diagihkan kepada penuntut mereka dan diberikan sedikit imbuhan. Apabila mereka mula bekerja , penyakit ini mula menular di sebabkan mereka dapat menawarkan perkhidmatan dengan harga yang rendah sekali. Biasanya, mereka yang menawarkan projek tersebut adalah syarikat-syarikat yang membuat iklan, tetapi tidak mempunyai kakitangan yang cukup. Sememangnya mereka tidak membuat kerja tersebut di waktu pejabat, tetapi mereka membuat kerja itu di waktu malam dan akhirnya mereka tidak cukup rehat. Pada waktu pejabat mereka akan kelihatan lesu dan tidak bermaya untuk menjadi produktif dan merugikan syarikat yang membayar gaji mereka.

Di syarikat kami, kerja-kerja free lancing ini tidak dibenarkan kerana sebab yang diatas. Sesiapa yang tertangkap mengambil kerja tersebut bolih diambil tindakan disiplin sehingga bolih dipecat dari jawatan mereka. Pengusaha syarikat harus memantau keadaan ini dengan ketat kerana selalunya mereka yang mendapat projek adalah mereka yang sudah mempunyai nama dan menjadi peneraju syarikat.
Sekali lagi, Atok ingin mengingatkan kepada semua pengusaha, didalam industri ini supaya memantau keadaan ini dengan ketat kerana ia bolih menghancurkan syarikat.

Setiap syarikat harus membangunkan sistem atau pipeline yang tidak bergantung kepada segelintir kakitangan yang dipercayai sahaja. Setiap jawatan yang penting harus ada pelapis yang sedia mengambil alih tugasan sekiranya mereka yang dipertanggung jawab itu berpaling tadah. Jika terjadi sebarang masaalah dengan kakitangan , ia tidak memberi impak yang besar kepada perjalanan syarikat tersebut.

9. Merchandising

Merchandising adalah merupakan sumber pendapatan yang lumayan didalam industri ini. Walau bagaimana pun, ia banyak tergantung kepada populariti siri animasi tersebut. Disney sendiri menjana 70% pendapatan dari merchandising dan licencing. Untuk memastikan yang perniagaan ini dapat dibangunkan ,sudah tentulah barangan citak rompak siri tersebut yang dipasarkan dipasar malam boleh menjadi penanda aras. Sekiranya ia begitu laris, maka kita yakin yang ia dapat dibangunkan sebagai suatu perniagaan yang besar.

Kepakaran untuk mengendalikan perniagaan ini amat berbeda dari industri animasi. Ia lebih kepada perniagaan retail yang memerlukan kepakaran mengendalikan stock, mencari pasaran baru, mengeluarkan produk yang bolih dijual, mendapatkan pembekal yang sesuai , pengurusan aliran tunai yang cekap, logistik dan sebagainya. Ia memerlukan seorang yang berpengalaman luas didalam bidang ini untuk membangunkan perniagaan tersebut. Olih kerana ia melibatkan pengaliran wang keluar dan masuk secara tunai, ketirisan mudah berlaku jika sistem pemantauan yang cekap tidak dapat dibangunkan.

Selain dari itu, berurusan dengan pembekal juga agak memeningkan. Industri membuat barangan permainan tidaklah begitu berkembang dinegara kita disebabkan tenaga buruh begitu mahal. Kebanyakan barangan diimpot dari Cina atau pun dari Negara jiran. Kebanyakan pembekal adalah orang tengah yang mau mengaut untung berlipat ganda. Internet dapat digunakan untuk mencari pembekal yang sesuai yang merupakan pengilang. Tetapi pengusaha harus belajar dengan mereka yang berpengalaman tentang cara mengimpot barangan tersebut agar tidak mudah tertipu. Banyak perkara yang harus dipelajari terlebih dahulu sebelum kita dapat membangunkan perniagaan ini secara besar-besaran.

He..he.. Atok akan sambung lagi cerita ini nanti

Monday, October 19, 2009

Atok Bercerita 3: Dekat Mana nak Cari Modal

He...he..sejak Atok mula bercerita ni , ramai juga yang tak senang duduk dan memberikan komen-komen yang bernas. Ada juga yang suruh Melodi terjah Atok...he..he..macam artis pula. Atok rasa satu Malaysia kena tau dan Atok sebenarnya nak berkongsi pengalaman Atok dengan semua penggiat industri ni, baik orang muda atau pelabur yang dah tua macam Atok ni supaya industri ini bertambah sihat dan semua orang tau hak masing-masing. Pada Atok, tidak ada apa yang takut untuk diceritakan kerana semua yang Atok buat itu ikhlas untuk membantu industri ini terutamanya orang Melayu dan Atok tidak mau, kawan –kawan Atok yang ingin membantu pun terjebak dengan masaalah yang sama.

7. Kemudahan Modal

Dalam usaha kerajaan memajukan industri ini, banyak bantuan modal disediakan oleh kerajaan bagi menjana industri sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi Negara dan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda. Untuk industri ini, agensi kerajaan yang bertanggung jawab menjana industri in ialah Mutimedia Development Corporation (MDeC) yang beribu pejabat di Cyberjaya. Untuk anak-anak muda yang ingin memulakan penglibatan dalam bidang ini, mereka boleh mendapatkan “Seeding Fund” dari MDeC yang berbentuk grant dengan jumlah nya antara RM100,000 hingga ke RM150,000

Grant ni percuma aje tak payah bayar balik tapi kena lah mengajukan kertas kerja projek yang meyakinkan. Mereka juga boleh menggunakan MCCC yang disediakan oleh MDeC di Cyberjaya dengan bayaran RM50 sebulan seorang. Kalau menggunakan kemudahan ini, tak perlulah mengeluarkan wang untuk membeli komputer dan perisian. Tapi kenalah berkongsi dengan ramai orang dari syarikat lain yang sama-sama mengadu nasib untuk menceburi bidang ini. Walaubagaimana, penggunaan kemudahan ini terhad kepada 1 tahun sahaja dan selepas itu harus keluar untuk memberi peluang kepada orang lain.
Selain dari itu, adalah baik sekiranya syarikat yang bergiat dalam bidang ini memohon taraf MSC dari MDeC. Dengan menjadi syarikat MSC, ia akan dapat bantuan modal yang lebih besar dan pengecualian cukai syarikat selama 10 tahun. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang tertentu untuk melayakkan syarikat itu menjadi sebuah syarikat bertaraf MSC.

Pengusaha juga harus pandai mengajukan kertas kerja yang siap dengan pelan perniagaan. Terdapat banyak juru runding professional yang bersedia menawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan taraf MSC. Selidik dulu latar belakang mereka atau pun mendapatkan khidmat nasihat pegawai MDeC yang sedia membantu. Atok dulu tulis sendiri aje sebab takde duit nak pakai juru runding.

Setelah menjadi sebuah syarikat MSC, maka bolihlah memohon “e-content fund” atau bantuan kewangan yang lain yang jumlahnya bolih mencapai sehingga RM5juta. Tetapi semuanya ada syarat yang tertentu dan projek yang memungkin mendapat pulangan yang wajar. Selain dari itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) ada juga menyediakan bantuan kewangan untuk industri ini. Malaysia Venture Capital (MaV Cap) dan Malaysia Debt Venture (MDV) juga bolih mengadakan pinjaman modal untuk membiayai projek anda. Kedua-duanya adalah institusi kewangan yang dipunyai oleh Khazanah. MavCap memberi pinjaman dan mengambil ekuiti syarikat, tetapi awas “escape clause” mereka sedangkan MDV memberi pinjaman seperti bank dengan sekim pembayaran balik yang bolih dirundingkan. Cobalah....kalau tidak pinjam aje dari mak atau bapa.

Atok: He..he..Atok berhenti kat sini aje buat kali ini. Atok ada kerja yang nak disiapkan...nanti Atok sambung dengan bab yang lain.

Atok Bercerita 2: Penubuhan Syarikat dan Penghancuran Syarikat

He..he..ada juga yang minat nak dengar Atok bercerita tentang berniaga ni. Eloklah tu...supay a tak banyak sikit, paham tentang berniaga. Jangan nanti bodoh sombong, lepas tu tuduh orang menipu. Hari ni cucu Atok semua masih di Cerating bercuti, dapatlah Atok sambung lagi cerita Atok.

3. Pembentangan Projek

Apabila dibagi peluang membentangkan projek kepada pelabur, gunakalah kesempatan itu dengan sebaiknya. Sebelum bersetuju membuat pembentangan, buat persediaan dengan menyelidik latar belakang pelabur. Berbagai cara bolih digunakan untuk menyelidik latar belakang pelabur, kawan-kawan dia, latar belakang syarikatnya dan macam-macam lagi. Jika sekiranya, ia mempunyai sejarah yang tidak berapa nak bagus dari segi perniagaan, lebih baik jangan di teruskan. Ini disebabkan , sejarah itu mungkin berulang lagi kepada pihak yang mencadangkan projek.

Sewaktu mencadangkan projek, gunakanlah kesempatan itu meminta imbuhan yang setimpal dengan kekuatan projek yang dicadangkan. Imbuhan itu boleh diminta dalam bentuk, gaji, bonus, jumlah saham percuma , perkongsian keuntungan, jawatan dan lain-lain lagi. Tapi permintaan yang melampau sudah tentu menakutkan pelabur untuk menjadikan impian cucu itu menjadi kenyataan. Belajarlah membuat minit mesyuarat sewaktu mencadangkan projek dan dapatkan tanda tangan semua yang hadhir tanda setuju kepada apa yang dibincangkan dalam mesuarat tersebut. Ini kerana orang muda mudah lupa, sedangkan pelabur yang berjaya biasanya akan mengotakan janji mereka kerana adat berniaga adalah memegang teguh kepada janji mereka. Dunia perniagaan di Malaysia ini tidaklah besar sangat untuk seseorang itu berniaga dengan penuh integrity dan menjaga tata susila perniagaan mereka.

4. Penubuhan syarikat baru.

Biasanya pihak pelabur akan mencadangkan penubuhan syarikat baru untuk menjalankan projek tersebut. Jika sekiranya ia mencadangkan dimasukkan dalm syarikat yang sedia ada, mintalah dengan cara yang baik untuk ditubuhkan syarikat yang baru. Ini disebabkan akan terjadi kesukaran dikemudian hari untuk memantau untung rugi projek tersebut jika ia digabungkan dengan perniagaan pelabur yang sedia ada.

Biasanya syarikat yang ditubuhkan itu hendaklah Sdn. Bhd., dengan modal berbayar sekurang-kurangnya RM100,000. Ini kerana tanpa modal berbayar, sukar untuk memulakan perniagaan dan sekurang-kurangnya untuk waktu beberapa bulan yang pertama sudah tentulah ada gaji yang disediakan. Modal sebanyak itu juga diperlukan untuk syarikat layak memohon pendaftaran untuk mendapatkan segala macam bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Sewaktu persetujuan dicapai untuk meneruskan projek ini, biasanya pelabur akan menawarkan sejumlah saham secara percuma tetapi dengan syarat saham tersebut dikembalikan sewaktu meninggalkan syarikat. Untuk pelabur, pastikan semua yang mendapat saham percuma ini menandatangani borang memindah milik saham dan surat perletakan jawatan sebagai pengarah yang tidak bertarikh. Ini amat perlu dikemudian hari, kerana anak-anak muda ini mungkin meninggalkan pelabur apabila berjaya kelak kerana, sudah tentu ada pihak luar yang meyakinkan mereka untuk membuat perniagaan itu sendiri dan menuduh pelabur menjadi kaya atas titik peluh mereka. Biasakan untuk membuat “share holders agreement” sewaktu menubuhkan syarikat yang baru supaya tidak menjadi pertelingkahan di kemudian hari.

4. Saham Syarikat.

Setiap syarikat Sdn. Bhd., mempunyai modal yang dibenarkan dan modal yang berbayar. Syarikat yang ditubuhkan adalah merupakan suatu badan yang sah disisi undang-undang untuk menjalankan perniagaan dan jumlah liabiliti yang dapat dituntut oleh mana-mana pihak terhadap syarikat hanyalah terhad kepada modal yang dibenarkan. Jika modal dibenarkan itu tinggi, stamp dutinya agak mahal tetapi mempunyai kekuatan untuk memohon pinjaman dari bank. Modal berbayar adalah jumlah wang yang digunakan untuk perniagaan syarikat itu sebagai modal dan ia dibuktikan dalam bentuk saham. Harga saham sewaktu penubuhan syarikat bernilai RM1 untuk setiap saham dan direkodkan didalam borang 49 serta didaftarkan di suruhan jaya syarikat. Pastikan perkara ini di uruskan kerana ini adalah bukti kepada semua janji yang dipersetujui semasa penubuhan syarikat. Untuk Les’ Copaque, sememangnya mereka mendapat sejumlah saham percuma sewaktu penubuhan syarikat dan telah dipulangkan ketika keluar dari syarikat.

Apabila semua modal yang dibenarkan telah habis digunakan, ada dua cara digunakan untuk menambah modal syarikat. Pertama, pemegang saham bolih membuat “cash call” untuk menambah modal dalam bentuk saham dan menaikkan modal yang dibenarkan atau pelabur memberi pinjaman kepada syarikat. Jika pemegang saham membuat “cash call”, semua pemegang saham harus mengadakan sejumlah wang mengikut peratusan saham yang dipegang. Jika ada pihak yang tidak mampu mengeluarkan wang tersebut, pihak yang mampu akan membeli semua saham yang ditawarkan menyebabkan jumlah peratusan saham yang dipegang akan bertukar. Proses ini dinamakan “share dilution” dan ini mempengaruhi proses pengagihan dividen dikemudian hari. Jika sekiranya pihak pelabur memberi pinjaman untuk syarikat beroperasi , ia direkodkan dalm bentuk pinjaman oleh lembaga pengarah. Mengikut tata-cara perniagaan, pinjaman ini harus dilunaskan dahulu sebelum sebarang bentuk dividen dapat diagihkan.

Untuk Les’ Copaque kedua-dua cara tersebut, bagi penyediaan modal, telah digunakan untuk menampung operasi selama lebih dari tiga tahun beroperasi tanpa pendapatan. Sejumlah RM 3 juta telah Atok pinjamkan dan sehingga hari ini, sebahagian besarnya, masih belum dapat dilunaskan lagi. Biasanya lembaga pengarah mempunyai kuasa untuk menandatangani cek dan mengetahui aliran wang keluar dan masuk. Mereka sudah tentu mengetahui kedudukan kewangan syarikat dan jumlah hutang yang ditanggung olih syarikat. Akan tetapi, terdapat mereka yang berkaliber dan berniat jahat dapat mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain dengan tomahan yang hasil titik peluh mereka hanya mengayakan pelabur dan mereka tidak mendapat sebarang imbuhan yang setimpal. Hanya lembaga pengarah sahaja yang mengetahui aliran wang keluar masuk untuk sesebuah syarikat, sedangkan kakitangan lain tidak mengetahui kedudukan yang sebenar.

5. Risiko Pelaburan Dalam Bidang Animasi

Pelaburan dalam bidang animasi mempunyai risiko yang begitu tinggi. Setiap pelaburan hanya akan diketahui pulangannya setelah produk dikeluarkan dan memerlukan modal yang tinggi untuk menghasilkan produk tersebut. Pembuatan suatu produk animasi, terutamanya 3d, mengambil masa yang lama dan modal untuk gaji pekerja harus disediakan secukupnya bagi menanggung mereka yang terlibat tanpa mendapat sebarang pulangan sehingga produk dikeluarkan. Perisian untuk membuat animasi ini agak tinggi, sekitar RM13,000 untuk sebuah perisian. Komputer juga memerlukan belanja yang tinggi tergantung kepada jenis computer yang digunakan. Untuk mengeluarkan produk yang popular, kita tidak bolih menggunakan perisian citak rompak kerana pembekal perisian akan memantau jumlah perisian yang dibeli bagi menghasilkan animasi tersebut dan bolih membuat anggaran berapa ramai pekerja yang terlibat.

Sebuah produk hanya akan diketahui popularitinya hanya setelah ditayangkan dan sejumlah besar wang yang telah dilaburkan untuk menghasilkannya. Untuk filem Geng, sememangnya kita telah mendapat kutipan tiket yang tinggi, RM6.3 juta. Walau bagaimanapun, kita hanya mendapat 50% dari jumlah tersebut setelah ditolak 20% untuk cukai hiburan yang dikenakan oleh pihak berkuasa. Selebihnya, adalah hak panggung wayang yang menayangkan filem tersebut. Dari jumlah tersebut , hanya 80% sahaja yang baru diterima dari pihak panggung kerana mereka memang liat untuk memulangkan hak pengusaha filem. Makanya , pengusaha filem menghadapi masaalah untuk terus maju. Kerajaan akan memulang sebahagian dari cukai hiburan untuk menjadi galakan kepada pengusaha filem, tetapi proses pemulangan itu mengambil masa yang lama. Sehingga hari ini, kami hanya menerima sebanyak 40% dari jumlah yang patut kami terima.

Untuk siri television, hasil jualan tidak akan mendapat memberi pulangan yang setimpal dengan pelaburan jika kita hanya menjual didalam negeri sahaja. Untuk siri Upin dan Ipin, ia hanya dapat menampung kos sahaja dan untuk mendapat keuntungan ia harus dijual dilebih banyak setesen television diluar Negara. Walaubagaimanapun, diluar Negara, harga yang ditawarkan terlalu rendah sekitar US$ 500 – US$1000 bagi rancangan 30 minit sedangkan kos pemasarannya begitu tinggi sekali.

Bagi Les’ Copaque, kos kaki tangan senantiasa meningkat setiap tahun, kerana kami mengamalkan kenaikan gaji yang berpatutan dan pemberian bonus setiap tahun. Dari mula beroperasi, kakitangan tidak pernah terlambat gaji dan tidak pernah tidak mendapat bonus walaupun syarikat tidak mendapat sebarang hasil kerana produk belum dapat dikeluarkan. Sememangnya pada awalnya syarikat tidak mampu memberi gaji yang tinggi dan mereka bersedia berkorban untuk mencapai cita-cita mereka. Walau bagaimanapun, ketika itu, mereka tetap mendapat imbuhan sekitar RM 2000 sebulan bersuaian dengan pengalaman mereka yang baru mendapat ijazah. Seperti yang Atok katakan tadi setiap tahun gaji mereka dinaikkkan dan mereka mendapat bonus antara 1 hingga 2 setengah bulan tergantung kepada prestasi mereka.

Tahun ini, setelah kedudukan kewangan syarikat bertambah baik, gaji mereka telah dinaikkan kepada hampir RM 4000 sebulan kepada hampir semua peneraju syarikat yang telah bertungkus lumus menjayakan syarikat. Atok rasa ia berpatutan , kerana itulah gaji yang Atok dapat sewaktu Atok meninggalkan Petronas dahulu setelah sepuloh tahun berkhidmat. Sememangnya Atok telah menyediakan sebahagian dari wang hasil filem Geng untuk diagihkan sebagai bonus kepada mereka yang terlibat dalam pembuatan filem tersebut mengikut peratusan jumlah waktu yang mereka terlibat. Pembahagian serta jumlah wang yang mereka dapat sebagai bonus telah dijelaskan kepada lembaga pengarah dan hanya menunggu waktu yang sesuai untuk diagihkan walaupun, seperti yang dimaklumkan tadi, hutang lembaga pengarah belum dapat dilunaskan. Mungkin kerana tidak puas hati yang bonus tersebut ingin diagih-agihkan kepada semua kakitangan yang terlibat, sebahagian dari mereka merancangkan untuk membuat sesuatu bagi menjatuhkan syarikat.

Kakitangan telah di api-apikan untuk meminta gaji yang lebih tinggi, malah ada yang diarahkan untuk memohon kerja disyarikat lain dan surat tawaran tersebut digunakan untuk memaksa Atok menaikkan tangga gaji yang lebih tinggi. Atok sememangnya berbangga terhadap keyakinan industri kepada kakitangan Les’ Copaque kerana gaji yang mereka tawarkan memangnya lebih baik dari apa yang mereka dapat, tetapi tidaklah terlau jauh dari apa yang mereka dapat sehingga sanggup mengorbankan kesetian mereka terhadap perniagaan yang mereka bangunkan.

Atok rasa cukup kali ini Atok bercerita dan Atok akan sambong lagi sekiranya Atok tidak sibok. Kepada semua pelabur, hati-hati dalam menagani mereka semua jangan sampai difitnah yang kita kaya atas titik peluh mereka sedangkan selama ini segala rezeki mereka, kita yang sediakan tanpa mendapat ucapan terima kasih.

He..he...Atok berdoa aja supaya mereka dirahmati Allah..

Sunday, October 18, 2009

Atok Bercerita 1: Pencadang dan Pelabur

Sejak kebelakangan ini, banyak cucu-cucu Atok diluar sana yang menuduh Atok ni menipu dan makan titik peluh dia orang. Ada yang kata, dia orang bersengkang mata siang dan malam, Atok yang kaya...He..he.. sebenarnya Atok memang dah kaya raya sebelum jumpa dia orang. Kalau dia orang tak datang jumpa Atok pun Atok tak miskin. Atok tak ambil pusing atas semua tuduhan itu asal Atok tau apa yang Atok buat itu mengikut perintah Allah dan tidak berchanggah dari hukum Allah. Sesungguh menerima rezeki yang haram itu tidak barakah.

Olih kerana sejak cucu- cucu Atok berjaya membangunkan Les’ Copaque hingga menjadi terkenal, maka dunia animasi menjadi buruan anak-anak muda untuk berkecimpung. Malah ada sebahagiannya yang ingin menjadi tauke, walaupun tidak tau selok belok perniagaan itu sehingga timbul perbalahan dan tomahan apabila sesuatu produk itu berjaya dibangunkan. Oleh itu Atok ingin bercerita tentang selok belok perniagaan supaya ia dapat menjadi pedoman kepada anak-anak muda yang bercita-cita untuk menjadi seorang tauke.

1. Penjelmaan Idea dan cadangan projek

Setiap siri animasi itu sudah tentulah ada orang yang mencetuskan ideanya. Idea itu mungkin datang dari berapa sumber seperti ilham yang datang tiba-tiba, meniru idea orang lain dan sebagainya. Sudah tentulah pencetus idea ini, pada waktu ini, merupakan anak-anak muda yang belajar dalam bidang ini dan mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk menceburi bidang ini. Biasanya, mereka akan melukiskan karakter dan membuat sedikit synopsis untuk meyakinkan pelabur kerana mereka tidak mempunyai modal. Kepada yang pandai sikit tu, mereka akan cuba membuat aliran wang masuk dan keluar bagi meyakinkan pelabur untuk membiayai projek tersebut.

Mengikut pengalaman Atok, sesuatu produk animasi tidak hanya tergantung kepada lukisan karakter itu sahaja untuk betul-betul diminati ramai dan memberikan pulangan yang lumayan kepada pelabur. Karakter yang begitu comel pun tidak dapat menawan hati penonton sekiranya jalan cerita tidak menarik, suara dan lakunan pelakun membosankan dan animasi itu sendiri tidak memikat penonton.

2. Pelabur

Pelabur adalah orang yang bersedia untuk memberi modal atau mencari modal bagi memungkin animasi tersebut menjadi kenyataan. Setiap pelabur akan mengharapkan pulangan yang berpatutan kepada pelaburan yang diberikan dan sekurang-kurang nya lebih dari deviden yang diberikan oleh Amanah Saham . Ini kerana sekiranya mereka melabur didalam Amanah Saham, mereka tidak perlu risau tentang kehilangan modal.

Animasi adalah merupakan pelaburan yang berisiko tinggi dan memerlukan modal yang tinggi. Kebanyakan pelabur adalah gulungan orang yang berumur dan telah berjaya dalam bidang perniagaan yang lain. Sudah tentulah mereka tidak tahu selok belok pembuatan animasi dan menghadapi risiko yang tinggi apabila ditinggalkan oleh anak muda ini dipertengahan jalan apabila terdapat sesuatu permasalahan.

Pelabur juga boleh dikategorikan kepada pelabur aktif dan pelabur yang pasif. Pelabur aktif adalah pelabur yang mengambil bahagian didalam perniagaan ini dan pelabur pasif adalah pelabur yang membiarkan anak muda menjalankan perniagaan ini dan mereka hanya mahu melihat pulangan pelaburan mereka sahaja.

Atok rasa cukup kali ini Atok bercerita dan Atok akan sambong lagi bila Atok ada masa untuk bercerita. Insyaallah...

Saturday, October 17, 2009

LCPSB tidak bersaing dengan Animonsta


Di atas merupakan keratan akhbar berkaitan kenyataan Managing Director Les' Copaque Production, Tn Haji Burhanuddin mengenai isu persaingan dengan syarikat animasi terbaru iaitu Animonsta. Terima kasih kepada saudara Aziz dengan tersiarnya artikel ini di dalam Utusan baru-baru ini.

Friday, October 16, 2009

Taman Tema Upin & Ipin

Di atas merupakan keratan akhbar berkaitan dengan Taman Tema Upin & Ipin yang masih di dalam perancangan awal. Aktikel ini ditulis ketika berlangsungnya Majlis Aidilfitri Upin & Ipin di Shah Alam baru-baru ini. Terima kasih kepada Raja Intan Dianna kerana sudi meluangkan masa memeriahkan Majlis Aidilfitri ini seterusnya menulis mengenai artikel ini.


Awas DVD Geng Cetak Rompak!

Baru-baru ini Les' Copaque Production telahpun mengadakan sidang media tergempar berkaitan dengan DVD Cetak Rompak filem Geng :Pengembaraan Bermula yang telah berleluasa dijual. DVD yang mula dipasarkan sebelum curi Aidilfitri itu, telah mendapat sambutan yang sangat memberansangkan pada minggu-minggu awal sehingga telah membuat cetakan kedua untuk memenuhi permintaan pasaran. Namun begitu, setelah beberapa hari saja DVD tersebut berada dipasaran lintah darat cetak rompak ini telah mengambil peluang mengaut keuntungan jalan mudah dengan memasarkan DVD cetak rompak ini.

Bentuk DVD cetak rompak yang biasa terdapat dipasaran

Ianya dijual dipasar malam termasuklah di kaki-kaki lima dengan kualiti gambar serta imej yang amat menyedihkan. Tidak cukup di situ, nampaknya filem ini juga tersebar secara haram melalui format digital di dalam internet yang menawarkan download secara percuma. Perkhidmatan download secara haram di laman web seperti torrent.jiwang.cc dan beberapa laman web lain telahpun dilaporkan kepada Cyber Security Malaysia untuk diambil tindakan.
LES’ COPAQUE PRODUCTION STRIKES BACK AGAINST PIRACY
En Ahmad Puad Onah bersama Tn Haji Burhannudin ketika sidang media

Ketika sesi menerangkan kepada media

Kemuncak permasalahn cetak rompak filem ini ialah setelah mendapat beberapa aduan mengenai cetak rompak yang seakan-akan cetakan asli. Cetak rompak yang mengamai cetakan asli yang juga dikenali sebagai counterfiet rupanya telah dijualan secara berleluasa termasuklah secara sah oleh pengedar dvd tempatan. DVD ini secara kasar sememangnya amat sukar dikenal pasti kerana kualiti cetak cover yang 80% seakan-akan yang asli. Ianya juga dijual dengan harga yang mahal yang bukan sahaja bertujuan mengaburi pembeli, malahan untuk mengaut untuk atas angin yang lebih besar. Harganya diturunkan sedikit iaitu di dalam lingkungan RM29.90 dan memberi alasan kehabisan poster. Les' Copaque Production mengambil langkah tegas dalam menangani isu cetak rompak ini kerana ianya akan mematikan industri perfileman negara.

Antara media yang hadir

Tn Haji Burhannudin ketika di temuramah krew Malaysia Hari Ini

Sesi rakaman oleh media

Di bawah merupakan cara untuk mengenalpasti DVD cetak rompak dan asli:

1. Pelekat No Siri (Silver) KPDNKK

Perbezaan mengikut no siri pelekat

Walaupun DVD Cetak Rompak counterfeit ini masih mempunyai pelekat no siri yang dikeluarkan oleh KPNDKK, tetapi sebenarnya pelekat yang digunakan sebenarnya tidak sah. Filem Geng menggunakan no siri yang bermula dengan huruf K, manakala counterfeit ini menggunakan no siri bermula dengan huruf H. Mengikut kajian, no siri ini sebenarnya merupakan pendaftaran untuk filem Hindi yang sepatutnya digunakan pada tahun 2005 dulu.

Walaupun nampak sama, tapi ada perbezaan

2. Sijil B (Cert B)

Pastikan pada DVD belakang ini mempunyai Cert B yang dikeluarkan oleh Finas. Sijil ini penting kerana pada sijil tersebut ada menulis tajuk filem dan butir-butir yang lain. Cetak rompak setakat ini tidak mampu menghasilkan sijil ini secara haram.

Sijil B penting memastikan ianya cetakan asli

3. Perbezaan lain

Sebenarnya masih terdapat perbezaan lain yang boleh diambil kira. Perbezaan dari segi kualiti cetak pada cover yang agak kabur serta jenis disk yang berlainan juga dapat membezakan kedua-dua jenis cetakan ini. Namun oleh kerana agak sukar pembeli untuk membezakan dengan mata kasar, jadi cukuplah sekadar mengenalpasti dengan 2 perbezaan yang telah dinyatakan di atas.

Terima kasih kepada peminat yang telah mendapatkan cetakan asli DVD Geng Pengembaraan Bermula kerana tanpa sokongan anda pasti sambutan terhadap filem ini tidak seperti sekarang. Kami juga menyarankan kepada semua peminat agar lebih berhati-hati ketika cuba mendapatkan barangan asli keluaran kami.

Open House di Rumah Atok

Nampaknya, tahun ini Atok tidak ketinggalan membuat rumah terbuka khusus untuk warga kerja Les' Copaque. Rumah Atok yang juga terletak di Shah Alam ini tersergam indah menanti kunjungan staff-staff LCP seawal pukul 5 petang lagi. Masing-masing yang berbaju melayu serta baju kurung berwarna warni ini turut membawa semangat Hari Raya walaupun pada waktu itu sudah masuk minggu bekerja. Terpegun dengan rumah Atok yang luas dan taman yang cantik, masing-masing mengambil peluang bergambar terlebih dahulu sebelum menjamu selera.

Antara jejaka-jejaka kacak LCP

Antara gadis-gadis anggun LCP

Mengikut tema warna merah/merah jambu

Bergambar mengikut warna biru pula

Selepas penat bergambar, masing-masing pun menuju ke khemah makanan. Sememangnya hidangan pada hari tersebut amat menarik dan sedap. Sudah tentulah hidangan utama iaitu kambing panggang menjadi tumpuan ramai. Oleh kerana tetamu yang makan hanyalah terdiri dari staff LCP, jadi tidak perlu beratur panjang untuk kambing panggang seperti di Rumah Terbuka yang lain.

Suasana ketika makan

Menikmati makanan

Kambing panggang yang mendapat sambutan ramai

Fila dan Salina

Terima kasih kepada Atuk dan Opah kerana telah menganjurkan Rumah Terbuka ini untuk cucu-cucu sekalian. Walaupun Rumah Terbuka ini diraikan dalam kesederhanaan namun yang penting masing-masing bergembira dan bersyukur kerana masing-masing seperti sebuah keluarga yang besar.

p/s : Selepas ini saya akan berkongsi pula mengenai Majlis Aidilfitri Upin & Ipin

MUNGKIN KAH UPIN DAN IPIN TERKUBUR?

Mungkinkah Upin dan Ipin terkubur? Itulah persoalan yang sering diajukan sejak tersiar berita di Utusan Malaysia tempoh hari tentang penubuhan sebuah syarikat animasi dinegara kita dan keluarnya beberapa kakitangan peneraju syarikat dari Les' Copaque Production Sdn. Bhd..

Kejayaan Upin dan Ipin memenangi hati rakyat bukanlah hasil kerja mereka semata-mata. Upin dan Ipin telah di ilhamkan secara berpasukan dari penghasilan skrip sehingga ia menjadi animasi. Memang tidak dinapikan, pada peringkat awalnya, mereka telah banyak menyumbang dalam menghasilkan animasi ini kerana merekalah yang berkeinginan untuk menerokai bidang ini dan Atok dengan ikhlasnya ingin membantu mereka untuk berjaya. Malahan, skrip dan cerita untuk episode ramadhan adalah hasil kerja Atok dengan Opah walaupun kami tidak mahu diberi kredit kerana ingin mengetengahkan mereka. Tetapi, setelah kakitangan ditambah sesuai dengan perkembangan syarikat, penglibatan mereka untuk menghasilkan produksi mula mengurang kerana mereka lebih banyak terlibat dalam soal pengurusan dan pengembangan pasaran. Kerja-kerja produksi telah diambil alih oleh kakitangan yang baru dan masih dapat mengekalkan populariti siri tersebut. Atok dan Opah masih tetap memantau jalan cerita setiap episode disamping memikirkan bagaimana syarikat dapat berjalan dengan sempurna dan gaji kakitangan yang sudah bertambah dapat disediakan setiap bulan.

Tetapi malangnya, setelah mengecapi kejayaan filem Geng ditambah pula dengan masa yang terluang kerana kurang penglibatan dalam produksi, ia telah digunakan untuk memikirkan bagaimana untuk menubuhkan satu syarikat yang baru tanpa Atok. Rancangan telah diatur dengan begitu rapi dan membiarkan produksi syarikat menghadapi masaalah. Berbagai-bagai kerenah kakitangan sengaja diadakan untuk melemahkan semangat kakitangan dan perancangan untuk persediaan modal telah diatur dengan liciknya. Walaubagaimanapun, tuhan masih sayang kepada Atok dan kakitangan yang lain. Rahsia mereka telah terbongkar dan mereka telah mengundur diri dari syarikat dengan serta merta walaupun mengikut rencana asal kemungkinan mereka akan meninggalkan syarikat pada hujung tahun secara beramai-ramai setelah segala persediaan diatur untuk penubuhan syarikat baru.

Rencana asalnya ingin menarik sehingga 15 orang kakitangan yang berpengalaman supaya syarikat akan lumpuh. Tetapi, mereka tidak berjaya menarik minat kakitangan yang lain kecuali mereka seramai 5 orang dan selebihnya adalah teman wanita dan isteri mereka yang merupakan kakitangan sokongan. Atok ucapkan selamat berjaya kepada mereka semua semoga Allah melindungi mereka kemudian hari.

Penubuhan syarikat animasi di Malaysia sememangnya dialu-alukan kerana kita kekurangan kandungan animasi yang bermutu. Persaingan dalam bidang animasi tidaklah seperti persaingan dalam bidang pembinaan dimana satu syarikat memenangi tender, maka yang lain hilang pekerjaan. Didalam bidang animasi, jika ada syarikat lain dapat mengeluarkan siri animasi yang diminati ramai, animasi yang sedia ada juga masih menjadi tontonan peminat. Oleh itu tidak timbul soal Upin dan Ipin terkubur sekiranya ada animasi lain yang lebih menyerlah. Tumpuan kami sekarang adalah mengekalkan mutu animasi Upin dan Ipin supaya ia masih diminati oleh semua peminat.

Pada masa sekarang kita masih mempunyai sekitar 70 orang kakitangan yang berkaliber tinggi untuk menghasilkan Upin dan Ipin. Kami masih mengambil pekerja baru dalam rangka membesarkan syarikat supaya kami dapt menghasilkan lebih banyak produk selain dari Upin dan Ipin. Atok fikir tidak perlulah kita berdebat mana yang lebih popular sehingga produk itu keluar dipasaran. Mengikut pengalaman Atok, banyak produk yang tinggal kenangan sebelum menemui penonton walaupun pada mulanya begitu gah diwar warkan. Hari Sabtu ni seluruh warga Les Copaque akan bercuti di Cherating selama 3 hari.....seronokkan?

Atok: Sekarang berada di Busan, Korea dengan Opah menikamti udara segar disini...

Pusan Film Festival

Atok sekarang berada di Busan, Korea untuk menghadiri Festival Filem Busan. Kami berbesar hati kerana Filem Geng telah dipilih sebagai satu filem yang ditayangkan di Festival ini. Filem tersebut telah ditayangkan pada malam semalam di pawagam Megabox Haundae.

Atok, Opah, Ah wei dan Yuki telah pergi menghadiri tayangan tersebut. Walaupun tidak ramai yang menghadirinya, sekitar 30 orang Korea, Atok berbangga kerana mereka dapat menghayati filem tersebut. Filem tersebut dimainkan dalam bentuk asal dengan sarikata Korea disediakan.
Mereka kelihatan ketawa pada babak-babak yang melucukan dan menjerit pada babak yang menyeramkan. Malangnya, anak-anak tidak dibenarkan menonton filem yang ditayangkan untuk Festival ini dan penonton terpaksa mebayar dimana hasil kutipan di agihkan kepada charity. Di akhir tayangan, mereka semua bertepuk tangan dan inin amat membanggakan kami semua.
Tujuan kami menonton filem ini di Korea adalah untuk mendapatkan reaksi penonton diluar negara. Sememangnya ada beberapa perkara yang harus ditik beratkan dalam pembuatan filem yang ingin dpasarkan di pasaran global. Ini semua akan kami gunakan dalam penghasilan filem baru kami yang masih diperingkat perancangan. Insyallah, kami akan mengusahakan filem yang lebih baik lagi dimasa yang akan datang.
Hari ini Atok akan bertolak pulang dan terus ke Cherating untuk bercuti dengan warga Les Copaque.
Atok: Seronok bekerja dengan mereka yang setia....