
Assalamualaikum....
Sejak artikel mengenai Les' Copaque nak buat filem Zaiton Sameon keluar di NST hari Sabtu minggu lepas, banyak pihak membahaskan perkara tersebut, terutama di ruangan forum. Banyaklah saranan dan komen yang kami terima termasuklah Atok syok sendiri sebab nak buat filem ini. Hari ni Atok nak terangkan kenapa kita nak buat filem dan kenapa tajuk ini yang kita pilih.
Setelah kami berjaya menyiapkan filem Geng dan mengeluarkan siri Upin dan Ipin, kami merasakan bahawa syarikat kami telah bersedia untuk mengorak langkah lagi untuk menaikkan mutu industri filem negara. Jika sekiranya kami telah berjaya menetapkan penanda aras mutu animasi bagi penggiat-penggiat animasi menyainginya melalui filem Geng dan siri Upin dan Ipin, kini kami ingin pula melihat keupayaan kami menaikkkan mutu filem dan CGI yang begitu diwarwarkan.
Sebenarnya bidang CGI dan animasi dapat membantu menaikkan pendapatan negara didalam kegawatan ekonomi ini. Sekiranya kita dapat menghasilkan produk yang bermutu dalam kedua2 bidang ini, kerja-kerja dari luar negara akan mencurah-curah datang kenegara kita disebabkan kos pembuatan dinegara kita begitu rendah jika dibandingkan dengan negara maju. Negara India, Thailand dan singapura adalah beberapa negara yang telah berjaya didalam usaha menarik kerja-kerja ini dari Hollywood dan negara barat. Les' Copaque sendiri telah menerima beberapa tawaran dari Korea dan Argentina untuk kerja-kerja animasi. Malangnya kami masih kekurangan kakitangan untuk menerima tawaran ini, insyaalh kami sedang berusaha untuk menambah pekerja lagi untuk waktu yang terdekat.
Untuk mnghasilkan kerja-kerja CGI, kami harus membuat filem live action dahulu. Kami telah merangka untuk menghasilkan sebuah filem seperti Lord of the Ring yang bercirikan Malaysia dan dipetik dari hikayat kita. Tetapi projek ini akan mengambil masa selama 5 tahun untuk disiapkan kerana ia akan melibatkan R & D keatas CGI. Oleh kerana itu, kami terpaksa membangunkan filem unit kami yang tidak melibatkan kakitangan yang ada sekarang kecuali beberapa orang kakitangan kanan yang akan memberi nasihat dan komen terhadap projek tersebut.
Sebenarnya tujuan kami memilih Zaiton Sameon untuk dijadikan filem adalah kerana sebab-sebab yang berikut:
1. Zaiton adalah penyanyi yang terkenal dizaman 80an sebelum menemui kemalangan yang mengorbankan anaknya. Keadaan hidupnya adalah amat menyedihkan dan untuk kami membantu begitu sahaja sudah tentu menjatuhkan mertabatnya. Olih itu adalah lebih baik kami membantunya dengan mengadakan filem ini.
2. Jarang sekali industri filem dinegara kita berani mengeluarkan filem komersial yang berbentuk autobiography. Subjek ini sememangnya susah dan jika tidak pandai membuat penceritaan, ia akan menjadi filem dokumentari. Oeleh kerana itu kami ingin mencuba keupayaan kami, dan sekiranya berjaya , sudah tentulah kita tidak mempunyai masaalah untuk membuat filem untuk sebarang genre.
Pada awalnya kami telah memilih M. Subash untuk menjadi pengarah kerana Opah berpendapat ia mempunyai bakat untuk membuat filem sebegini melalui karyanya "Pensil". Beliau telah sanggup untuk menulis skrip dan setelah dipersetujui dan wang pendahuluan di bayar, beliau telah menyipakan skrip dalam masa dua minggu. Malangnya mutu skrip tersebut terlalu rendah dan terdapat fakta hidup Zaiton yang salah dan perlu diperbetulkan. Malangnya, apabila dikomen, beliau telah menyalahkan kami kerana campur tangan dengan karyanya dan terus meninggalkan kami terpinga-pinga didalam mesyuarat. Sehingga hari ini wang pendahuluan tidak di pulangkan.
Memang betul kami telah membuat screen test dan Nurul sememangnya layak untuk memegang watak Zaiton. Tetapi kami belum lagi melantik beliau untuk berlakon kerana skrip masih belum dibuat lagi. Waktu ini kami sedang mencuba beberapa bakat baru untuk menghasilkan skrip sebelum kami mengambil keputusan untuk meneruskan filem tersebut.
Memang susah untuk orang yang berpengalaman atau merasakan diri dia lebih baik bekerja dengan kami. Oleh kerana itu, Atok lebih suka mengambil anak-muda yang baru lepas dari belajar bekerja dengan Atok kerana mudah dibentuk.
Atok: Melentur buluh mesti dari rebongnya...he..he